Pages

Sunday, 10 June 2012

Cerpen Bila Seluang Melaut


Come on lah Dira, you tak boleh terus-terusan berdendam dengan keluarga you sendiri. Walau pun you marah kepada ayah you, tapi takkan you tak kasihan kepada mak dan adik-adik you, takkan you  tak rindu kepada mereka,” nasihat Jessie, teman aku yang paling baik dan kini sama-sama bertugas sebagai pensyarah di Swinburne University of Melbourne.
            “Kau tak faham Jessie. Kau tak rasa apa yang telah aku rasa dan tanggung selama ini.” kata Dira seakan berbisik.
            “Dira, air dicincang tidak akan putus. Walau apa sekalipun tanggapan you kepada mereka, mereka tetap ahli keluarga you.  Darah daging you sendiri. Keluarga ni kita tak akan dapat mencarinya di mana-mana tau, walau di hujung dunia sekalipun you  pergi. Fikir-fikirkanlah. Janganlah biarkan perasaan ego mengatasi kewarasan fikiran you,”  Jessie seperti berputus asa untuk menasihati aku.

            “Betul cakap Jessie tu Dira. Kita boleh cari wang dan harta kekayaan, tetapi keluarga tidak. Kau beruntung sekurang-kurangnya masih ada keluarga, tapi aku….” sampuk Ratna yang dari tadi hanya memasang telinga atas perbualan kami.

 Ratna adalah  rakanku ketika menuntut di Swinburne University sepuluh tahun yang lalu.  Bilangan Pelajar Malaysia yang boleh dikira dengan jari menyebabkan hubungan kami bertiga sangat rapat. Walaupun kini dia telah bertugas di Alfred Hospital, namun persahabatan kami tidak pernah terputus. Setiap kali ada kelapangan, pasti kami akan bertemu untuk berbual dan berkongsi pandangan dalam semua hal. Merekalah tempat aku mengadu dan melepaskan apa-apa tekanan yang aku alami.

            “Kalaulah aku masih ada keluarga, aku tak akan lepaskan peluang untuk bersama-sama mereka,” suara Ratna perlahan. Ada nada sedih dan ralat  dalam kata-katanya itu.
            Ratna telah dibesarkan di sebuah rumah anak-anak yatim di Kelang, Selangor. Dia kehilangan ibu bapa dan seorang abang dalam satu kecelakaan jalan raya yang mengorbankan semua ahli keluarganya. Keazamannya yang kuat untuk menimba ilmu  telah mengubah nasibnya kini.

Selepas mencapai kejayaan cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Ratna mendapat tajaan sepenuhnya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di University Of Swinburn, Melbourne .  Setelah tamat pengajian, Ratna kemudiannya mengambil keputusan untuk menimba pengalaman di bumi kanggaroo ini. Aku sendiri gigih meneruskan pengajian hingga berjaya ke tahap doktor falsafah dan kemudiannya ditawarkan bertugas sebagai pensyarah di universiti yang sama dalam  Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

            “Sabarlah Ratna, pasti segala peristiwa yang kau lalui itu ada hikmahnya,” aku pula yang menasihati dan menenangkan  Ratna. Jessie hanya mengangguk tanda simpati.

Malam itu  masa yang berlalu aku rasakan sangat panjang. Kondominium yang terletak di kawasan perumahan mewah di St.Kilda Avenue ini tidak lagi menjadi kebanggaan buat seorang aku. Tidurku telah beberapa kali terganggu. Aku menggelisah. Dari sebalik tabir kondominiumku yang terbuka, aku merenung wajah bandaraya Melbourne yang sentiasa hidup dan sibuk. Ratusan ribu lampu neon yang indah dan berwarna warni tidak lagi indah pada pandangan mataku. Apa yang aku rasakan hanyalah sebuah  kegelapan malam yang suram,  sesuram hati aku dikala ini.

“Ya Allah, Kau berilah aku petunjuk dan kekuatan untuk berhadapan dengan semua ini.”  Kepalaku terasa panas. Wajah ayah, wajah emak dan adik-adik bertukar ganti di dalam benak ini.
“Sudah sepuluh tahun Dira tak balik, pulanglah nak, Mak rindu pada Dira. Dira tak sayang pada emak ke, tak ingat pada kampung halaman lagi ke?” rayuan mak kali ini telah menggigit-gigit tangkai hatiku.  

Masih terngiang-ngiang suara emak merayu di hujung talian. Aku tiba-tiba menjadi sayu. Entah mengapa pendirianku kali ini mula goyah. Hatiku yang selama ini begitu keras seperti batu mula rapuh. Cuma yang aku rasa kini kerinduan terhadap desa kelahiranku semakin kuat bertapak di hati ini. Rindu kepada Ibu, Angah, Alang, Ucu, dan pada aa…., ahh!! mungkinkah!!  Wajah ayah kembali berlegar-legar dalam kepalaku.

Ayah seorang yang amat mementingkan disiplin. Mungkin latar belakangnya sebagai Guru Disiplin menyebabkan ayah begitu tegas dalam mendidik anak-anak. Waktu makan, waktu bermain, waktu belajar dan semuanya mesti dilakukan pada masa yang betul.  Bilik tidur, buku sekolah dan semua alatan persekolahan perlu tersusun rapi. Tiada siapa yang berani melanggar peraturan ayah. Ayah begitu tegas dalam mendidik kami, sama tegasnya ketika ayah berhadapan dengan kerenah murid-muridnya di sekolah. Namun aku tahu ayah amat mengasihi kami sekeluarga. Buktinya, ayah tidak pernah mengabaikan kebajikan dan keperluan kami. Cuma peraturan ayah yang ketat menyebabkan aku dan adik-adik berasa terseksa.

 Persis sebuah tayangan opera, ingatan aku menggamit semula memori yang menjadi penyebab aku berkelana  ke sini, seperti orang terbuang layaknya.

            “Pangg!!” Satu tamparan maha hebat dan maha sakit hinggap di pipiku yang mulus secara tiba-tiba, sebaik-baik sahaja aku melangkah masuk ke dalam rumah. Aku terkedu dan tergamam. Aku menyeringai menahan sakit. Namun dalam sedar dapat ku agak puncanya.

            “Berapa kali ayah cakap jangan keluar rumah tanpa izin mak atau ayah, tapi mengapa Dira degil? Mengapa tak dengar cakap ayah. Kau nak jadi apa ni?” Ayah seperti kehilangan punca.

“Dira pergi mana? Pergi mana? Cakap !!” Bentak ayah dengan kuat. Aku melihat mata ayah merah. Aku menjadi takut. Aku tahu ayah terlalu marah.

“Matilah aku kali ini,” getus hatiku sambil menahan sakit yang amat sangat.

“Dira…Dira pergi ke  perpustakaan dengan kawan-kawan, ayah,” aku menjawab perlahan dan terketar-ketar.

“Perpustakaan? Jam 8.30 malam baru sampai rumah, perpustakaan apanya?” Aku sangkakan jawapanku tadi dapat menyelamatkan aku daripada terus dimarahi ayah, tapi ternyata jangkaan tersebut meleset. Ayah semakin menyinga.  Ayah menyeret tanganku sekuat-kuat hatinya masuk ke bilik dan menghenyak tubuhku di suatu sudut.

“Kau dah pandai menipu pulak ya. Sudah berulang-ulang kali ayah cakap, jangan keluar tak tentu hala. Tumpukan peperiksaan SPM yang hanya tinggal beberapa bulan lagi, tapi mengapa degil sangat hah!! Mengapa tiba-tiba Dira jadi macam ni? Hantu apa yang dah merasuk diri Dira ni?”  Aku hanya membatukan diri dan diam membisu seribu bahasa. Melihatkan aku berkeadaan  begitu, amarah ayah  seakan tidak terkawal lagi.

“Heii budak ni, mati aku kerjakan karang. Kau memang nak sangat ya!!” ayah semakin berang.

            “Zap! zap! zap!!” ayah merembat belakangku dengan tali pinggangnya. Aku meraung kesakitan.
            “Ampunkan  Dira,ayah.  Dira tak buat lagi. Makk, tolong Dira makkk..!! Aduiiii.., aduii…, ampunkan Dira ayah!! Dira tak buat lagi ayahhh!!’ tapi raunganku itu sia-sia kerana langsung tidak mendapat simpati daripada ayah.

Nampaknya tahap kesabaran ayah telah hilang. Ayah seperti orang hilang akal dan terus membelasah aku dengan tali pinggangnya. Akhirnya aku tidak lagi bermaya untuk pertahankan diri. Aku hanya mampu berserah. Pandangan mataku berpinar-pinar.

            “Astaghafirullahalazim…,Sudahlah bang…sudahlah! Mati anak kita nanti, mengucaplah bang, sudahlah!!!” Aku  terdengar suara ibu  merayu berkali-kali meraih simpati ayah supaya tidak terus membelasah aku. Ibu  menangis terngongoi-ngongoi melihat kesakitan yang aku tanggung. Malah aku tahu, beberapa das rembatan ayah tadi turut singgah di badan ibu tatkala cuba melindungi aku.

            “Anak tak tahu diuntung. Aku jaga kau seperti menatang minyak yang penuh, aku sediakan semua keperluan kau secukupnya, tapi ini balasan kau pada aku.  Kau nak aku mati cepat ke baru puas hati kau!! “ ayah terus membentak dengan  mata yang merah menyala. Aku menjadi kecut. Aku terus memeluk emak mengharap  perlindungan. Kami akhirnya sama-sama menangis.

            Mendengar suasana riuh-rendah di rumah, jiran kami Baba Neo dan Nyonya Tey datang menjenguk. Kedatangan mereka ku kira sebagai penyelamat keadaan. Nyonya Tey berlari mendapatkan aku dan emak. Nyonya Tey yang begitu rapat dengan emak menitiskan air mata melihat keadaan kami. Baba Neo pula yang selama ini ku panggil uncle segera memegang bahu ayah dan menenangkan ayah.

            “Che Man, janganlah ini macam.  Bawa bertenang Che Man,” pujuk Baba Neo beberapa kali sambil tangannya segera mengambil tali pinggang di tangan ayah. Baba Neo turut menarik tangan ayah keluar dari bilik dan menjauhi aku. Bimbang aku dibelasah lagi oleh ayah agaknya.

            “Saya malu Baba Neo. Saya malu!!  Dari kecil saya didik dia dengan sempurna. Semua kemahuan dan keperluannya saya penuhi. Sebagai anak yang sulong, saya menaruh harapan yang tinggi supaya dia menjadi contoh terbaik kepada adik-adiknya, tapi mengapa dia buat saya macam ni?”  Ayah tidak lagi menyembunyikan perasaannya daripada Baba Neo.

            “Budak-budak semuanya memang ini macam Che Man, tapi kita tak boleh hukum dia banyak keras, nanti kalau jadi apa-apa sama dia, lagi kita susah,” antara terdengar dengan tidak suara Baba Neo yang sedikit telor hinggap di cuping telingaku. Suara itu kemudian perlahan-lahan hilang dari pendengaranku. Aku terlelap kerana terlalu keletihan.
Semenjak peristiwa aku dibelasah oleh ayah dengan teruk, seminggu lamanya aku mengurung diri di dalam bilik. Selama seminggu itu jugalah aku tidak ke sekolah.

“ Aku benci ayah!! Aku benci ayah !! Hati aku menjerit-jerit.

            “Dira, mari makan nak, mari makan sayang…sudah seminggu Dira tak jamah nasi, nanti Dira sakit, kasihanlah pada emak Dira, makanlah nakk…” ibu terus merayu.

            Aku hanya mampu melihat ibu menangis tapi badanku terasa lemah. Seluruh anggota badanku masih terasa sakit. Air jernih dari kelopak mata ibu bercucuran melihat aku berkeadaan begitu.

            “Biarkan Dira mati mak, biarkan Dira mati, Dira benci ayah, ayah memang tak sayang pada Dira!!” Aku bertempik melepaskan amarah yang masih bersarang dalam hati ini.
            “Jangan salahkan ayah nak. Ayah sayang pada Dira. Sebab sayanglah ayah bertindak seperti ini. Ayah tak mahu Dira tersilap langkah dan merosakkan masa depan Dira sendiri,” kata-kata ibu yang lembut di cuping telingaku tidak berjaya menghilangkan kemarahan yang meluap-luap ini.

            “Ahh! Mak pun sama seperti ayah. Semua yang  Dira buat tak betul. Itu salah, ini salah, Dira bosan, bosan!!!” Aku menjerit lagi sekuat-kuat hati tanpa mempedulikan mata adik-adikku yang  dari tadi memerhatikan gelagat aku.

            Benarlah kata pepatah, sejauh mana seluang melaut, akhirnya pulang ke lubuk jua. Aku mengambil keputusan nekad untuk pulang ke kampung sempena cuti Aidil Fitri yang akan menjelma seminggu lagi. Entah mengapa, panggilan untuk pulang ke tanah air begitu kuat merantai hati ini. Tiba-tiba aku dilanda gelora rindu yang maha hebat kepada emak, adik-adik, sawah padi dan ……. ayah . Mungkin! Aku segera membuat tempahan tiket dengan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang berpengkalan di Bandaraya Melbourne ini.  Hatiku telah nekad untuk pulang.

            Hari untuk berangkat telah tiba. Ratna dan Jessie sama-sama menghantar aku ke Melbourne Tullamarine Airport, sebuah lapangan terbang di Bandaraya Melbourne yang sentiasa sibuk dengan ribuan manusia dari pelbagai pelusuk dunia.

            “Selamat jalan Dira. Aku bangga kerana kau telah membuat keputusan yang tepat,” kata Jessi ketika menjabat tanganku sebelum pergi.

            Ratna pula memelukku erat sambil mengucapkan selamat jalan. “Sampaikan salam aku kepada semua ahli keluarga kau di Malaysia. Aku percaya kepulangan kau akan menjadi sinar yang sangat dinanti-nantikan oleh mereka.” Ratna sempat berbisik.  Aku membalas kata-kata Ratna itu dengan senyuman yang hambar. Aku sendiri tidak pasti apa yang bakal berlaku nanti.
            Suasana di dalam perut pesawat tenang. Yang kelihatan hanya kesibukan paramugari dan paramugara  pantas menghidangkan minuman dan makanan kepada para penumpang. Aku langsung tidak mempunyai nafsu untuk makan walaupun telah berpuasa sepanjang hari tadi.  Aku lebih suka melayan perasaan dan membuka lembaran demi lembaran memori masa laluku.

            Petang itu, sebagaimana yang dijanjikan, Zali datang menjemput aku di tempat biasa. Zali adalah pelajar Tingkatan Enam di sekolahku yang menjadi perhatian kebanyakan pelajar. Aku bangga apabila dipilih oleh Zali sebagai teman istimewanya. Pertemuan ketika aktiviti gotong-royong sekolah telah membuahkan perasaan yang istimewa antara kami. Sejak itu, aku dan Zali sering keluar bersama-sama.

            “Dira dah lama tunggu?” wajah tampan Zali tersenyum tatkala dia sampai menjemput aku di hujung jalan masuk ke sekolah kami. Wajah tampan yang menjadi kegilaan pelajar sekolah aku itu begitu ceria.

            “Kita pergi menonton wayang ya, ada cerita baru.” Kata Zali lagi sambil memakaikan topi kaledar di kepalaku. Aku mengangguk manja.

            Bermula pada saat itu juga, aku mula cuai terhadap pelajaran. Aku juga sudah mula pandai menipu ayah dan emak. Aku sering pulang sekolah lewat senja dengan alasan menghadiri kelas tambahan di sekolah atau mengulangkaji pelajaran di perpustakaan.  Sebaliknya aku keluar bersiar-siar dengan Zali. Kadang-kadang kami ke pusat beli belah, kadang-kadang melepak di taman atau sesekala melihat tarian ombak di tepian pantai Tanjong Puteri yang indah. Di situlah  kami menjadi Mat Jenin moden yang  berangan-angan tentang masa depan, tentang bilangan anak-anak yang ingin kami miliki dan pelbagai lagi. Ahh, angan-angan kosong yang sangat indah!

            Langit tidak selalu cerah. Satu hari ayah menerima panggilan telefon daripada Cikgu Khairul, rakan sejawatnya yang bertugas di sekolahku.  Cikgu Khairul meminta kerjasama ayah agar datang ke sekolah kerana perlu berbincang beberapa perkara tentang aku.

            “Tapi setiap hari anak saya pergi ke sekolah cikgu. Saya sendiri yang menghantarnya sehingga di hadapan pintu pagar sekolah.” Jawab ayah setenang yang mungkin sebaik-baik sahaja dimaklumkan oleh Cikgu Khairul.

            “Termasuk hari ini, bermakna Nadhira dah tak hadir ke sekolah selama sepuluh hari. Saya telah menghantar surat amaran sebanyak dua kali kepada Cikgu Azman sebelum ini untuk memaklumkan ketidakhadiran Adira ke sekolah. Ini dia salinan surat-suratnya.” Terang Cikgu Khairul panjang lebar sambil menunjukkan salinan surat amaran tersebut  kepada ayah. Dahi ayah berkerut.
Semua tindak-tanduk aku selama ini telah diadukan kepada ayah. Ayah benar-benar malu. Ayah benar-benar rasa terpukul oleh perbuatanku, anak yang menjadi harapannya selama ini. Yang pasti, ayah berasa kewibawaannya sebagai pendidik begitu tercabar kerana  telah gagal mendidik anaknya sendiri.

Mengenang masa lampau, kolam mataku tidak lokek melimpahkan air jernih yang hangat. Aku sekadar membiarkan air jernih itu membasahi pipi ini dengan harapan air jernih itu dapat membasuh semua parut yang masih membekas.

Penerbangan selama lapan jam amat singkatku rasakan. Kedengaran suara kapten kapal terbang mengumumkan pesawat yang aku naiki telahpun tiba ke destinasi yang dituju dan akan mendarat di KLIA pada bila-bila masa sahaja. Dadaku berdebar-debar.

Setelah selesai mengambil semua begku di tempat pengambilan bagasi, aku berjalan keluar dengan perasaan yang bercampur baur. Dari jauh telah terlihat wajah ibu, Angah, Alang dan Ucu yang sungguh ceria sedang melambai-lambaikan  tangan ke arahku.

            “Dira, Dira!! Mak di sini Dira,” kedengaran suara ibu begitu teruja dengan kepulangan diri ini.

Aku meluru ke arah mereka dan memeluk ibuku seerat mungkin. Kerinduan kepada ibu yang ku simpan selama lebih sepuluh  tahun sepanjang berada di bumi kangaroo itu seakan tidak tertanggung lagi.

            “Makk, Dira rindu pada mak, ampunkan Dira mak,” hanya itu perkataan yang keluar dibibirku. Angah, Alang dan Ucu turut memelukku erat satu persatu.

            “Selamat kembali ke tanah air Kak Long, kami semua rindu akan Kak Long,” kata Angah yang telah pun beristeri dan  kini bertugas sebagai jurutera di sebuah syarikat gergasi di sini.

 Aku bangga melihat adik-adikku. Seperti Angah, Alang juga punya kerjaya hebat. Alang kini merupakan seorang pakar perubatan di Hospital Besar Melaka, manakala Ucu pula baru saja menamatkan pengajian lanjutan peringkat sarjana dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Aku menatap wajah adik-adikku satu persatu yang segak dan bergaya. Dalam diam, aku mengagumi ayah. Ayah yang hanya guru lepasan maktab perguruan, tetapi telah menjadikan tiga orang anak terunanya insan yang berjaya. Namun aku mula merasakan kekurangan sesuatu. Aku menoleh ke kiri dan ke kanan. Mataku liar mencari seseorang. Ah, mana ayah? Marah sangatkah ayah kepada aku? Benci sangatkah ayah kepada anaknya yang seorang ini sehingga tidak sudi menyambut kepulangan aku. Dadaku bagaikan ingin pecah menahan perasaan. Tetapi aku hanya mampu  berdiam diri dan menelan semua gejolak yang bersarang di dada ini.

            “Ayah mana, mak? Akhirnya perkataan tersebut terpacul juga dari mulutku.

            “Ayah masih marah pada Dira lagi? Ayah tak suka Dira pulang ke?  Atau  ayah benar-benar benci Dira?” Pertanyaan yang bertalu-talu menyebabkab ibu tidak keruan untuk menjawabnya.

            “Tenang Dira. Ayah ada di rumah nak, ayah tak berapa sihat.” Ibu cuba menjawab setenang yang mungkin sambil menggenggam tanganku dengan kemas.

            “Ayah memang benci Dira dari dulu lagi. Dira dah buktikan kepada ayah bahawa dira boleh berjaya dalam hidup. Apa lagi yang ayah tak puas hati pada Dira.” Wajahku sengaja ku masamkan.
Ada sedikit ego menyelimuti diriku pada saat itu. Maklumlah, aku bukan lagi Dira yang dulu. Aku kini Profesor Dr.Adira Azman, seorang cendekiawan yang banyak menghasilkan penulisan ilmiah serta menjadi rujukan banyak pihak.

            “Kak Long, marilah kita balik ke rumah dulu. Angah pasti ayah juga tertunggu-tunggu kepulangan kak Long,” pujuk Angah pula.

Sepanjang perjalanan, aku hanya berdiam diri melayan perasaan. Pelbagai kenangan masa lalu ligat berputar dalam kotak fikiran ini. Pada satu-satu ketika, kereta yang dipandu Angah akan melewati beberapa tempat yang pernah menjadi sejarah antara aku dan Zali, dan sejarah itulah yang telah menyebabkan aku  membawa diri jauh beribu-ribu batu.

            Saat kereta dipandu Angah menyusur masuk ke kawasan rumah kami, aku dihantui rasa sayu. Telah begitu lama aku tinggalkan gerobok buruk tempat aku dibesarkan. Deretan pasu bunga kegemaran ibu masih tersusun di tempat yang sama. Suasananya begitu hening dan  sepi. Tidak banyak yang berubah.

            “Adik-adik kau nak robohkan rumah ini dan buat yang baru, tapi ayah tak izinkan. Kata ayah, dia tak mahu ada apa-apa yang berubah,” tiba-tiba emak bersuara. Mungkin emak dapat membaca fikiranku pada ketika itu.

Pada saat aku leka memerhatikan dan mencari perubahan rumah yang ku tinggalkan sejak sekian lama itu, aku tersedar ada sepasang mata yang tajam sedang merenung ke arahku. Pandangan yang tidak lepas itu seakan begitu sarat dengan rasa rindu yang menggunung.

            “Ayahh!!” Hanya sepatah kata yang keluar dari mulutku.  Kerongkong aku bagaikan tersekat. Aku dapat melihat dengan jelas kelopak mata ayah  berkaca-kaca digenangi air jernih. Namun aku masih berdiri kaku, melihat sekujur tubuh tua yang jelas dimamah usia.

 Ayah tidak lagi seperti yang kubayangkan. Garis-garis tua begitu jelas terpancar di wajahnya. Tangan ayah yang berkedut kasar menyedarkan aku, betapa orang tua ini telah banyak berkorban untuk kami sekeluarga. Aku semakin dihambat rasa berdosa.

            “Dira, selamat pulang nak,” kata ayah pendek.

Kata-kata ayah yang secebis itu bagai halilintar yang mengoyakkan segala  egoku. Kata-kata ayah yang secebis itu bagai panah memecahkan bongkah ais yang telah membekukan hati dan perasaanku selama ini.  Aku bagai dikejutkan daripada satu igauan yang maha panjang. Barulah aku melihat lelaki sebenar yang berada di hadapanku itu adalah ayahku. Ayah yang selama ini mengorbankan kepentingan dan keinginan peribadinya demi melihat aku menjadi manusia sempurna. Aku berdosa kepada ayah…aku berdosa kepada ayah!!

 Dadaku berombak kencang. Kolam mataku tidak mampu lagi menakung  air jernih yang menanti masa untuk melimpah keluar. Tanpa aku sedari, aku berlari sekuat hati mendapatkan ayah yang kelihatan begitu uzur dan lesu.

            “Ayahhh!! Ayahh!!“ Aku memeluk ayah seerat-eratnya.

“Ampunkan Dira ayah! ampunkan Dira ayah!! Dira berdosa kepada ayah , ampunkan Dira ayah!!” Aku terus merintih dan meratap seperti anak kecil minta dibelikan mainan.

“Dira berdosa pada ayah. Dira anak yang derhaka kepada ayah, ampunkanlah Dira ayah…!” Aku  terus memeluk ayah dengan erat.

 Perlahan-lahan aku dapat  merasakan  jejari kasar ayah membelai rambutku. Aku dapat merasakan keikhlasan kasih seorang ayah kepada anak yang sangat dikasihinya. Alangkah tulusnya kasih seorang ayah, alangkah… dan aku terus menangis semahu-mahunya seolah-olah ingin  membasuh segala dosa dan perbuatan masa laluku  terhadap ayah.

“Syukurlah nak, Dira dah kembali di sisi ayah, emak dan adik-adik. Setiap masa, dan setiap saat ayah berdoa untuk kesejahteraan Dira. Ayah berdoa untuk kebahagiaan Dira. Ayah berdoa agar Dira kembali kepangkuan keluarga,” kata ayah perlahan tetapi cukup jelas pada pendengaran ku. Aku berasa begitu bersalah melihat air mata ayah berguguran.

Hari yang sangat indah ku rasakan. Angah dan adik-adik telah merancang majlis berbuka puasa yang sangat istimewa. Mak Su dan Pak Su yang menetap di Kuala Lumpur turut gembira dan segera pulang ke kampung setelah mendengar berita kepulanganku. Ibu turut menjemput Baba Neo, Nyonya Tay dan anak teruna mereka Rhui Jian untuk meraikan kepulanganku.  Nyonya Tay memegang kedua-dua pipiku.

“Dira semakin cantik dan puteh macam mat salih,” usik Nyonya Tay.

Semua yang ada ketawa mendengar usikan Nyonya Tay itu.  Rhui Jian turut tersenyum dan memandangku tidak berkelip. Mukaku merah menahan malu. Sepanjang menikmati juadah, pelbagai topik yang kami bualkan. Sesekali disulami dengan gelak ketawa mendengar cerita Baba Neo yang suka berjenaka. Kebahagiaan yang tidak dapat diucapkan dengan kata-kata.

Malam itu, kami sekeluarga bersolat tarawih bersama-sama di masjid setelah bertahun-tahun kehilangan peluang berbuat demikian. Satu perasaan damai meresap masuk menjalar di setiap urat darahku. Seusai berjemaah di masjid, aku memimpin tangan ayah pulang ke rumah persis  zaman kanak-kanakku dulu.

Kami sekeluarga menikmati kopi sambil berbual pelbagai topik. Begitu banyak soalan ayah. Soal  kehidupan aku di perantauan, soal pelajaran, soal pekerjaan dan impian ayah untuk melihat aku berumahtangga. Sesekali ketawa kami berderai memecah hening malam.

Malam itu juga, Angah membocorkan rahsia bahawa wang yang dikirim oleh Pak Su sebanyak RM200,000 ketika aku mengalami masalah di Australia dulu, sebenarnya duit daripada jualan tanah sawah kami. Ayah meminta semua orang merahsiakannya daripada pengetahuan aku. Aku begitu tersentuh dan memandang muka ayah.

“Ayah tak mahu puteri kesayangan ayah menghadapi kesusahan hidup seorang diri di rantau orang,” Kata ayah sambil tersenyum.
Oh Tuhan, aku bersyukur kerana Engkau menganugerahi aku seorang ayah yang begitu hebat. Aku juga bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk memohon keampunan daripada ayah. Seorang ayah yang mengajar aku erti sebuah kehidupan. Ayah yang mendidik aku sedari kecil, dan sentiasa memastikan aku berada di atas landasan yang betul. Ayahlah guruku yang sejati sehingga aku menjadi insan yang matang dan berjaya. Air mata bahagia melimpah lagi.  Aku bersyukur kepada-Mu ya Allah. Terima kasih ayah...terima kasih guruku!!

3005 patah perkataan





No comments:

Post a Comment