Pages

Sunday, 10 June 2012

Cerpen Adek Dan Dileksia { Karya Sabar Hj.Mohd )

Mak  dan  ayah tak faham, cikgu tak faham, malah adik sendiri pun sebenarnya tak faham, mengapa adik jadi seperti ini. Setiap hari selepas pulang dari sekolah, adik akan  belajar pada sebelah petang dan malam seperti yang diarahkan oleh ayah. Hujung minggu pula, emak dan ayah masukkan adik ke kelas tambahan. Kata emak, semuanya demi kebaikan adik. semuanya kerana emak dan ayah mahu adik jadi budak pandai.
Tapi mengapa adik masih seperti ini? Mengapa adik rasa semakin hari adik semakin tidak faham apa-apa yang adik pelajari? Adik begitu tertekan. Di rumah emak dan ayah marah. Di sekolah adik selalu kena hukum dengan cikgu kerana tak dapat menyiapkan tugasan yang diberi. Adik bingung. Sebab itu adik lebih suka termenung dan mengasingkan diri.
Apabila ada masa terluang, adik lebih suka melukis. Hati adik tenang semasa menumpukan perhatian pada lukisan yang adik buat. Adik banyak melukis gambar abang, kakak, ayah dan emak. Adik juga telah  melukis gambar semasa kami berkhelah di pantai Port Dickson. Ada gambar laut, burung dan penjual ais krim. Dalam gambar tersebut adik sedang tersenyum di samping keluarga. Masa tu adik gembira sangat. Adik tak pernah lupa saat-saat tersebut.
 Adik juga lukis gambar kawan-kawan. Gambar cikgu Zaimah dan Cikgu  Leman yang garang sambil memegang rotan. Gambar Ustazah Mira yang cantik pada pandangan mata adik pun adik lukis juga. Semua gambar tersebut adik lukis dalam sebuah buku yang dihadiahkan oleh emak. Emak hadiahkan buku itu kerana tak mahu adik  melukis pada dinding rumah lagi. Adik menjaga buku itu seperti adik menjaga diri adik sendiri.
“Zizi, mari sini,” satu suara laungan yang sudah  biasa sangat adik dengar, singgah di telinga adik. Adik hanya memandang lesu ke arah tuan punya suara tersebut.
“Zup! Zup!” Entah untuk ke berapa kali, buku adik menjadi sasaran kemarahan cikgu  Zaimah. Berang benar nampaknya cikgu Zaimah pagi itu apabila mendapati tulisan adik tunggang-langgang dan jawapan adik tidak ada yang betul. Adik tidak takut lagi. Adik sudah lali. Cuma mata adik terkebil-kebil mohon dikasihani. Perlahan-lahan adik bangun dari tempat duduk dan berjalan lemah ke arah cikgu Zaimah. Muka adik sedikit pucat.
“Awak ni dah Tahun Tiga, tapi tulisan cakar ayam, ejaan pun masih tak betul” tangan cikgu Rahmah yang halus itu segera memiat telinga adik. Mulut adik menyeringai  menahan sakit.
“Ambil balik buku tu, dan buat semula. Esok pagi-pagi saya nak awak hantar, dengar tak?” amaran  cikgu Zaimah keras. Adik  mengangguk lesu.
Perlahan-lahan adik mengutip semula buku adik yang berkeronyok di atas lantai. Ekor mata adik mencuri pandang ke arah cikgu Zaimah yang masih merenungnya sambil bercekak pinggang. Mata adik berair. Adik menangis senyap-senyap kerana takut dimarahi lagi. Adik menyeka air mata dengan lengan bajunya. Satu kelas memandang ke arah adik. Ada yang simpati tak kurang juga yang ketawakan adik. Adik malu tapi apalah daya adik ketika itu.
“Padan muka, kena marah! Ha! ha! ha! ha!” terdengar suara Kiren, Shidan, Najmi dan Low tertawa sambil memperolok-olokkan adik. Empat sekawan tersebut tak habis-habis mengganggu adik.  Adik hanya berdiam diri sambil mengetap gigi.
Petang itu adik pulang ke rumah dalam keadaan kusut masai. Baju adik kotor dengan kesan tanah bercampur daki. Adik cepat-cepat tukar dan sorok baju belakang pintu . Adik mematikan diri di dalam bilik. Adik tak mahu keluar makan.
“Adik, cepat solat. Lepas solat mari makan. Mak dah sediakan ayam goreng kicap kesukaan adik,” kata mak dari dapur.
Lama mak tunggu tapi kelibat adik  masih tak timbul-timbul. Mak pergi ke bilik adik. Rupa-rupanya adik tidur sambil menutup mukanya dengan selimut. Adik tak mahu jumpa sesiapa. Adik tak mahu jumpa emak. Emak pun tak faham diri adik. Adik rasa semua orang tak akan faham. Semua orang hanya tahu marah adik. Semua orang kata adik malas belajar. Adik benci kepada semua orang!
“Mengapa baju sekolah adik kotor ni. Adik bergaduh lagi ke? Apa nak jadi dengan adik ni,” suara mak tinggi sebaik-baik sahaja melihat baju adik yang comot dan penuh tanah.
“Shidan yang mulakan dulu. Dia dan kawan-kawannya ketawakan adik,” jawab adik pendek dari dalam selimut.  Adik cuba pertahankan diri.
“Mengapa mereka ketawakan adik? Mesti adik buat hal di sekolah tadi. Lebih baik adik cakap kalau tidak mak adukan kepada ayah,” kata emak  memancing  sambil duduk dibirai katil menunggu adik keluar dari persembunyiannya.
Perlahan-lahan adik menyembulkan mukanya daripada terus tersembunyi disebalik selimut. Perkataan ‘ayah’ menjentik kebimbangan hati adik. Adik tak mahu ayah tahu dia kena marah dengan cikgu. Adik tak mahu ayah tahu dia bergumpal dan bertumbuk dengan Shidan serta rakan-rakannya semasa di sekolah tadi. Kalau ayah tahu habislah adik.  Adik memandang emak memohon simpati.
“Beritahu emak, mengapa adik bergaduh dengan mereka?” kata emak lembut sambil matanya melekat pada sebatang tubuh kecil yang ada di hadapannya itu.
“Pagi tadi Cikgu Zaimah marah adik. Dia tarik telinga adik. Lepas tu  cikgu baling buku adik sebab adik buat latihan salah,” adik berkata jujur. Suara adik perlahan dan tersekat-tersekat.
“Mengapa adik buat salah? Sebab tu  cikgu  marah,” tambah emak.
“Adik tak faham. Adik tak tahu nak tulis macam mana. Adik dah cuba tulis macam yang cikgu tulis di papan hitam. Tapi cikgu kata adik tulis salah.” Adik meluahkan perasaannya kepada emak.
“Emak melihat telinga adik. Jelas tanda lebam di pangkal telinganya. Hati emak terusik melihat adik diperlakukan begitu. Emak memeluk adik dan membelai rambut adik.  Adik rasa begitu selamat setiap kali mak memeluknya. Adik memeluk emak kuat.
“Habis tu, apa kaitannya dengan Shidan dan kawan-kawannya sampai adik bergaduh dengan mereka?” tanya emak lagi walaupun emak seperti  sudah boleh menduga jawapan yang bakal diberi oleh adik.
“Mereka ketawakan adik. Ejek-ejek adik. Dia orang  kata adik bodoh sebab tu hari-hari kena marah dengan cikgu.” Adik bersuara laju sambil menyembamkan mukanya di dada emak. Kekadang emak pun buntu memikirkan hal adik. Abang dan kakak adik tidak seperti ini. Mereka pelajar pintar di sekolah dan sentiasa mendapat pujian guru. Mak bingung. “ Kasihan adik,“ gumam emak dalam hati.           
Selepas makan tengahari, mak menemani adik menyiapkan kerja sekolahnya. Emak terkedu melihat tulisan adik yang tunggang langgang. Banyak huruf atau nombor yang adik tulis secara terbalik.  Emak menggelang-gelengkan kepala, tetapi emak tidak sekali-kali memarahi adik. Emak membantu adik satu persatu menyiapkan tugasannya. Emak begitu sabar melayani adik. Itulah hati seorang ibu.
Malam itu, emak memberitahu ayah perkara yang berlaku. Emak cuba berbincang dengan ayah keadaan adik yang tidak boleh menulis dan membaca dengan baik walaupun sudah berada di Tahun Tiga.
“Mungkin adik menghadapi apa-apa masalah tak bang? Marilah kita bawa adik pergi berjumpa dengan doktor untuk membuat pemeriksaan”
Cadangan emak ditolak mentah-mentah. Ayah tak percaya adik menghadapi sebarang masalah. Sebaliknya ayah menyalahkan emak kerana tidak menjaga dan mendidik adik dengan baik. Kata ayah, emak  terlalu memanjakan adik. Sebab itu adik jadi malas dan tidak bersungguh-sungguh. Kata ayah lagi, emak sepatutnya lebih tahu hal-hal adik kerana ayah sibuk bekerja setiap hari menyara keluarga kami. Melihat ayah sukar dibawa berbincang, emak kemudiannya mematikan diri.
Peperiksaan akhir tahun menjelma. Sepeti pelajar yang lain, adik turut sama menjalani peperiksaan tersebut. Adik tekun menjawab seperti pelajar lain juga...tapi adik sendiri tak pasti apa yang telah adik tuliskan.
Saat mengunjukkan buku rekod kemajuan kepada ayah, tangan adik menggigil.  Markah bagi semua subjek ditulis dengan pen merah. Itu bermakna adik gagal dalam semua mata pelajaran. Komen yang diberi oleh guru kelas adik juga telah menyebabkan ayah semakin marah.
Adik tak dapat melupakan peristiwa malam itu, adik dibelasah dengan teruk oleh ayah. Ayah kata adik malas. Ayah kata adik sengaja main-main. Kaki dan tangan adik berbekas dek rembatan rotan ayah yang sentiasa tersangkut di dinding ruang tamu. Ayah membanding-bandingkan diri adik dengan abang dan kakak. 
Esakan adik berlarutan semasa tidur. Emak, abang dan kakak sangat sedih dan kasihan melihat adik, tetapi mereka tak boleh berbuat apa-apa. Emak menyapu ubat di beberapa bahagian tubuh adik yang lebam. Akhirnya mereka semua turut menangis bersama-sama adik.
Cuti akhir tahun persekolahan, ayah mendaftarkan adik di sebuah pusat tuisyen untuk mengikuti pelajaran secara intensif. Maknanya tidak ada istilah cuti dalam kamus hidup adik. Hari-hari adik terpaksa menghadiri kelas Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains di pusat tersebut. Adik tak dapat balik ke kampung untuk bercuti bersama-sama atuk dan nenek.
 Atuk sudah beberapa kali menelefon emak dan ayah agar membawa adik pulang bercuti di kampung. Atuk dan nenek rinduk akan adik. Adik pun teramat rindu kepada atuk dan nenek. Adik hanya mampu memendam perasaan. Adik lebih suka termenung dan berangan-angan bertemu dengan atuk dan nenek. Adik lukis gambar atuk dan nenek sedang memegang tangan adik. Adik juga lukis gambar ayah yang bengis ketika merotan adik tempohari!
Cuti sekolah akhir tahun kali ini adik rasakan terlalu panjang. Akhirnya tahun baru menjelma juga,  bermakna adik akan berada dalam Tahun Empat. Abang dan kakak telahpun pulang ke asrama masing-masing. Adik berasa sangat kesunyian. Selalunya masa cuti sekolah, abang dan kakak rajin melayan adik. Abang dan kakak berusaha membantu adik menyiapkan latihan yang diberi oleh guru pusat tuisyen kerana mereka tak mahu adik kena marah dengan ayah.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, sekolah bagai satu penjara besar yang amat menyiksakan bagi adik. Sebuah tempat pesalah-pesalah menerima hukuman. Guru-guru yang telah sediakala mengenali adik tetap dengan persepsi yang sama menganggap adik malas, bodoh, degil dan sukar diajar. Seperti tahun-tahun sudah juga, adik menerima hukuman demi hukuman daripada para guru yang kononnya mempunyai kepakaran mendidik anak bangsa. Hati adik sedih, badan adik sakit tapi tak siapapun yang cuba memahami diri adik. Sama juga seperti ayah dan kawan-kawan.
“Bangun semua, selamat sejahtera cikgu.”Jelas kedengaran arahan ketua kelas sebaik-baik sahaja cikgu Violette masuk ke kelas.
Cikgu Violette merupakan guru Bahasa Inggeris adik yang baharu menggantikan cikgu Liza. Adik suka cikgu Violette. Cikgu Violette cantik dan bercakap dengan lembut kepada adik. Cikgu Violette suka tersenyum dan sesekali menggosok belakang adik. Cikgu Violette tidak seperti cikgu Liza yang bengis dan sentiasa menyinga. Setiap hari adik tertunggu-tunggu cikgu Violette masuk ke kelas adik. Walaupun adik tak faham apa yang diajar oleh cikgu Violette tetapi adik akan pura-pura sibuk menyiapkan kerja yang diberi.
Ketika menyemak tugasan pertama yang diberi kepada pelajar Tahun Empat Delima , cikgu Violette mula berasakan  ada sesuatu yang tidak kena kepada diri adik. Adik cenderung menulis secara terbalik. Adik juga tidak dapat menulis dengan baik. Tulisan adik ada yang tinggi, ada rendah dan ada yang kecil juga yang besar. Susunan tulisan adik juga tidak teratur. Sekejap menyerong ke ke atas dan sekejap menyerong ke bawah.
“Patutlah dia selalu kena marah dan menjadi sasaran guru-guru. Rupa-rupanya dia ada masalah,” hati cikgu Violete berbisik. Tetapi cikgu Violette tidak cepat melatah. cikgu Violete sedaya upaya memberi tumpuan yang lebih kepada adik dan cuba membantu adik mengatasi kelemahannya. Pada waktu lapang cikgu Violette mengadakan kelas pemulihan khas untuk adik. Namun setelah beberapa bulan berlalu, prestasi adik tetap seperti itu.
Cikgu Violette cuba berbincang dan mendapatkan pandangan beberapa orang guru yang turut mengajar kelas adik. Namun reaksi kebanyakan guru tersebut amat mengecewakan cikgu Violette. Rata-rata mereka begitu pasif dan membuat kesimpulan mudah,  “adik pelajar dungu yang memang sukar diajar.”
“Sudahlah cikgu, janganlah buang masa melayan budak Zizi tu, memang dia dah tak ada harapan dahh.!! kalau dia betul-betul bagi tumpuan,dia boleh buat. Masalahnya dia malas dan degil.” Lemparan kata-kata Cikgu Liza di bilik guru tadi begitu menyakitkan hati Cikgu Violette.
“Tapi cikgu, kita tak boleh lepas tangan begitu sahaja. Kita kena bantu dia. Kalau dia budak yang normal, tak mungkin dia berkeadaan begitu,” cikgu Violette cuba mempertahankan adik.
“Suka hati cikgulah,” cikgu Liza bersuara sinis sambil bibirnya sedikit terjuih. Guru-guru lain hanya menelinga dan mengambil sikap berkecuali.
“Kita dah usaha cikgu, malah sebelum cikgu datang ke sekolah ini, ramai guru telah cuba membimbing dia, tapi hasilnya tetap sama. Jadi apa lagi yang boleh kita buat,” jawab Encik Vishnu, GPK Hal Ehwal Murid di sekolah adik  acuh tak acuh  tatkala cikgu Violette mengajukan perkara tersebut kepada beliau.
“Beginilah cikgu Violette. Cikgu masih baru di sini dan masih tidak begitu biasa dengan perangai pelajar-pelajar di sini. Jadi, daripada cikgu membuang masa memikirkan seorang pelajar, saya minta cikgu tumpukan kepada pelajar-pelajar lain yang leih berpotensi supaya pencapaian alkademik sekolah kita dapat ditingkatkan. Ingat cikgu, pencapaian akademik sekolah kita merupakan antara yang terbaik di daerah ini,” suara cikgu Vishnu kedengaran tegas.
“Inilah akibatnya kalau sekolah bertindak seolah-olah seperti sebuah mesin yang hanya mengeluar manusia cemerlang dalam peperiksaan. Sedangkan Falsafah Pendidikan Negara kita amat jelas untuk melahirkan generasi yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek,” cikgu Violette bersuara geram tetapi dengan nada yang dikawal sambil meminta diri.  Cikgu Vishnu terpinga-pinga.
Guru muda yang pernah mendalami ilmu Psikologi Pendidikan, di Universiti Kebangsaan Malaysia ini tidak mengaku kalah. Dia tidak mahu sikap segelintir guru yang begitu pasif, mematahkan semangatnya. Dia begitu yakin, adik bukan budak bodoh tetapi tentu ada sesuatu yang menyebabkan adik berkeadaan demikian. Disleksia, ya.. Disleksia. Cikgu Violette pernah membaca tentang sindrom penyakit tersebut ketika menuntut di universiti dahulu.
Berhari-hari Cikgu Violette melayari laman sesawang untuk mendapatkan maklumat tentang Disleksia. Semakin banyak maklumat diperoleh,  dia semakin yakin adik menghadapi masalah Disleksia. Cuma cikgu Violette tidak pasti sejauh mana kebenarannya.
            Hujung minggu itu, Cikgu Violette mengambil kesempatan untuk mengunjungi keluarga adik. Hatinya tidak akan tenang selagi tidak dapat membantu adik. Dia bernasib baik kerana ayah dan ibu adik ada di rumah. Setelah memperkenalkan diri, emak mempelawa cikgu Violette masuk dan menghidangkan minuman.
            “Saya minta maaf mengganggu keluarga abang dan kakak waktu hujung minggu begini. Saya juga minta maaf sekiranya perkara yang ingin saya bincangkan tentang Zizi ini akan menyinggung perasaan abang dan kakak,” cikgu Violette memulakan bicara dengan penuh tertib.
            Dengan penuh diplomasi, cikgu Violette menerangkan kepada ayah dan emak tentang diri adik di sekolah sepanjang pemerhatiannya selama beberapa bulan di sekolah tersebut. Cikgu Violette juga menerangkan tentang penyakit Dileksia yang secara zahirnya sukar di kesan pada diri si pengidap. Akhirnya, Cikgu Violette berjaya meyakinkan ayah untuk membawa adik membuat pemeriksaan lanjut di hospital yang mempunyai kepakaran dalam  bidang tersebut
            Setelah menjalankan beberapa prosuder dan ujian, pihak hospital telah menghubungi ayah dan emak untuk berbincang mengenai perkara tersebut. Cikgu Violette turut sama ke hospital untuk mendengar penjelasan daripada doktor.
“Encik Halim, Disleksia ni merupakan satu sindrom yang menyebabkan pengidapnya tidak mampu untuk belajar disebabkan kesukaran mereka melakukan aktiviti membaca dan menulis.”
“Boleh doktor jelaskan lagi, saya tak begitu faham.” kata ayah lemah.
“Macam ni Encik Halim. Pengidap Disleksia ni pada zahirnya nampak seperti manusia normal yang lain. Mereka menjalani kehidupan yang cergas, masih punya kemampuan untuk menganalisa dan juga punya daya sensorik pada deria rasa. Tetapi  mereka ni  kehilangan kemampuan untuk membaca dan menulis disebabkan berlaku kerosakan pada bahagian tertentu otak. Disleksia pada tahap ini juga dikenal sebagai Aleksia. Malah  selain mempengaruhi kemampuan membaca dan menulis, Disleksia juga boleh mempengaruhi kemampuan seseorang kanak-kanak itu  untuk bertutur “
Dahi ayah berkerut mendengar penjelasan doktor Nizam.  Semua telahan yang dibuat oleh cikgi Violette ternyata benar. Ayah dan ibu masih terpinga-pinga dan sukar mempercayai penyakit yang dideritai oleh adik.

“Tapi doktor anak saya normal dan keturunan sebelah saya mahupun sebelah isteri tidak ada yang mengidap sindrom seperti ini,” kata ayah lagi seperti enggan menerima hakikat keadaan adik.
“Penderita Disleksia ni sememangnya tidak dapat dilihat dari segi fizikal mereka. Selain itu, Disleksia juga tidak hanya terbatas pada situasi seseorang penderita  menyusun atau membaca kalimat dalam urutan terbalik, tetapi juga dalam pelbagai macam urutan yang lain seperti dari atas ke bawah, kiri dan kanan, serta sulit menerima perintah yang seharusnya dilanjutkan ke memori pada otak. Hal inilah yang  menyebabkan penderita Disleksia dianggap tidak konsentrasi dalam beberapa hal. Terdapat juga beberapa kes penderita tidak dapat menjawab pertanyaan yang diberi secara panjang lebar.”
“Jadi, bagaimana dengan anak saya doktor?”
“Semua sindrom yang saya nyatakan tadi ada pada diri anak Encik Halim. Jadi jelaslah bahawa anak Encik Halim mengalami masalah Disleksia”
“Doktor, boleh saya tahu faktor seseorang kanak-kanak mengalami masalah Disleksia ini,”  cikgu Violette bersuara setelah begitu lama hanya menjadi pendengar.
“Para pengkaji telah menemukan disfungsi ini adalah disebabkan oleh kondisi dari biokimia otak yang tidak stabil dan juga dalam beberapa hal akibat bawaan keturunan daripada orang tua mereka.”
            Ayah dan emak terdiam setelah mendapat penerangan sejelas-jelasnya daripada Dr.Nizam. Lidah ayah kelu. Perasaan bersalah terhadap adik menyerbu segenap ruang minda ayah.  Ayah memeluk adik erat.  Adik hanya diam dan terpinga-pinga.
            “Adik, maafkan ayah sayang. Ayah akan lakukan apa sahaja agar adik dapat menjalani kehidupan yang lebih sempurna. Ayah janji tidak akan membiarkan sesiapapun  memarahi adik lagi disebabkan keadaan adik ini. Ayah janji!” ayah bersuara perlahan penuh kesal.
            Atas pandangan cikgu Violette dan nasihat daripada Dr.Nizam, ayah  telah menghantar adik ke Persatuan Pembelajaran Kanak-Kanak Disleksia. Di pusat tersebut, adik telah diberikan perhatian dan tunjuk ajar secara lebih terancang serta menjalani pembelajaran secara one to one oleh tenaga pengajar yang berpengalaman.
Hampir dua tahun berlalu, ayah dan emak sangat gembira kerana sudah ada perkembangan yang positif pada diri adik. Jika sebelum ini adik tidak mampu memberikan tumpuan dan sukar belajar, namun berkat kesungguhan tenaga pengajar di situ, adik sudah boleh mengira, membaca dan melakukan penyelesaian terhadap latihan yang diberikan. Ayah dan emak bersyukur kerana masih belum terlambat untuk membantu adik berhadapan dengan masalah yang dihadapinya. Ayah juga amat berterima kasih kepada Cikgu Violette kerana dengan keprihatinannyalah masalah disleksia yang dialami oleh adik dapat dikesan lebih awal.
Tanggal 16 Mei akan menjelma. Tarikh tersebut amat bermakna buat semua guru. Ingatan adik terhadap cikgu Violette tidak pernah lekang di ruang mindanya. Malah ingatan itu kini bertukar menjadi rindu kepada seorang pendidik yang telah menyelamatkannya daripada terus terhumban dalam kegelapan.
Adik meminta emak menemaninya membeli kad ucapan dan cenderahati pilihannya. Sebaik sahaja pulang, adik berkurung dalam bilik kerana begitu sibuk membungkus hadiah dan menulis kad ucapan tersebut. Emak menawarkan pertolongan untuk membantu tetapi adik menolaknya mentah-mentah. Adik ingin melakukannya sendiri untuk seorang insan yang amat bermakna bagi dirinya. Sesekali emak menjenguk ke dalam bilik perlahan-lahan kerana tidak mahu mengganggu kesibukan adik masa itu. Emak hanya tersenyum.
Pagi itu,  cikgu Violette menjalani rutinnya sebagai pendidik dengan penuh semangat dan ceria.  Sedang asyik melayani kerenah anak-anak murid yang lincah di dalam kelas, cikgu violette telah diminta datang ke pejabat kerana Encik Ravi, guru besar sekolah ingin berjumpa. Dadanya berdebar-debar memikirkan kesalahan yang mungkin telah dilakukannya.
“Selamat pagi cikgu. Boleh saya tahu mengapa cikgu ingin berjumpa dengan saya?” Cikgu Violette bersuara sebaik-baik sahaja melangkah masuk ke bilik guru besar.
“Selamat pagi cikgu. Ini Encik Halim, bapa Azizi bekas murid sekolah kita dahulu,” kata Encik Ravi sambil sambil tangannya mengarah kepada Encik Halim.
“Encik Halim telah menceritakan semuanya kepada saya berkaitan  Azizi yang menghidapi masalah Disleksia dan usaha gigih cikgu membantu murid tersebut. Saya berasa begitu terharu dan bangga terhadap usaha yang telah cikgu lakukan,” sambung Encik Ravi lagi.
Kesempatan itu diambil oleh cikgu Violette untuk mengetahui perkembangan Azizi sepanjang dia belajar di Pusat Pembelajaran kanak-Kanak Dileksia.  Tidak terdetik walau sedikitpun rasa  bangga diri  tatkala mendapat pujian daripada guru besar sebentar tadi. Baginya segala yang dilakukan itu adalah atas rasa tanggungjawab dan kasih yang menebal  kepada anak didik dan dunia pendidikan.
Sebelum meminta diri, ayah menyampaikan salam dan cenderahati daripada Azizi kepada Cikgu Violette. Azizi tidak dapat datang kerana bersekolah.
Cikgu Violette membuka cermat kertas merah jingga yang membalut kemas hadiah tersebut. Sekeping potret yang berlatarkan pantai dan ombak. Di tepian pantai itu kelihatan seorang wanita manis sedang memimpin jejari kecil menyusuri pantai tersebut. Ahh...cantik sungguh. Cikgu Violette tersenyum.
Jari jemari cikgu Violette pantas membuka sekeping kad ucapan yang terlekat kemas pada bungkusan hadiah itu. Matanya tidak berkelip menatap patah demi patah kata-kata yang tercatat di dalamnya :

Buat seorang guru
yang manis dan ayu
suaranya merdu
menyejukkan hatiku,
Buat seorang guru
 menjadi bintang hatiku
memberi aku cahaya
untuk menyuluh jalanku,
Terima kasih cikgu
kaulah sinar itu.
Daripada : Nor Azizi bin Abd.Halim

            Cikgu Violette membaca dan membaca nota itu berulang kali. Kad bertulisan tangan itu mempunyai banyak kesan pemadam yang membayangkan pemiliknya cuba menulis sebaik mungkin. Biarpun kalimah yang tercatat amat ringkas, namun cukup untuk menceritakan hati seorang kanak-kanak yang sangat tulus  menghargainya. Cikgu Violette menyeka air matanya. Bukan kerana kesedihan tetapi kebahagiaan yang sukar untuk dijelaskan.

[ Cerpen ini telah dipertandingkan dalam Pertandingan Menulis Certa kanak-kanak sempena  sambutan Hari Guru Peringkat kebangsaan 2012 ]

No comments:

Post a Comment