Saturday, 9 June 2012

Teknik Penulisan Karangan

Karangan Respon Terbuka [40 markah]

Sektor pelancongan banyak memberi faedah kepada negara. Tuliskan pendapat anda.

PENDAHULUAN JENIS ISU SEMASA

Perkara
Ayat
Isu
Kini,ekonomi negara Malaysia banyak bergantung kepada industri pelancongan.
Ulasan isu
Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila Kementerian Pelancongan telah melancarkan pelbagai program untuk menarik pelancong berkunjung ke negara ini.
Isu masa ini
Saban tahun pelancong asing mahupun tempatan akan datang melawat ke negara ini.
Hala tuju
Tentunya pelbagai faedah diperoleh oleh kerajaan daripada sektor pelancongan ini.





PENGEMBANGAN ISI PERTAMA

Perkara
Ayat
Apa(Isi)
Sektor pelancongan merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada pendapatan negara sehingga kini.
Mengapa
Hal ini berlaku demikian kerana darmawisata yang datang ke negara ini akan membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk berbelanja.
Bagaimana/ Kesan
Secara langsung, situasi ini akan menjana ekonomi  negara.
Contoh
Sebagai contoh, darmawisata-darmawisata tersebut akan menyewa hotel dan membeli barangan cenderamata untuk dibawa pulang ke negara mereka.
Penegasan
Sememangnya kedatangan para darmawisata ini telah merancakkan lagi kegiatan ekonomi negara.





PENGEMBANGAN ISI KEDUA

Perkara
Ayat
Apa
Selain itu, sektor pelancongan juga turut akan menjadikan negara kita terkenal di mata dunia.
Mengapa
Hal ini berlaku demikian kerana para pelancong yang berkunjung ke negara ini pastinya akan menceritakan kepada kenalan mereka tentang pengalaman mereka ketika berada di negara ini.
Bagaimana/ Kesan
Sehubungan dengan itu, tentulah mereka akan berasa teruja untuk datang ke negara ini.
Contoh
Sebagai contoh, mereka akan turut mempromosikan kepada kenalan mereka tentang tempat-tempat yang menarik yang telah mereka kunjungi semasa melancong di negara ini.
Penegasan
Melalui promosi secara tidak formal ini tentunya akan secara tidak langsung mempopularkan nama negara kita dalam kalangan mereka.





PENGEMBANGAN ISI KETIGA

Perkara
Ayat
Apa
Di samping itu, industri pelancongan telah memberi impak yang besar kepada pembangunan infrastruktur  di kawasan-kawasan terpencil di luar bandar.
Mengapa
Hal ini berlaku demikian kerana ramai pelancong dari luar negara khususnya gemar melancong di kawasan yang jauh dari kesibukan kota.
Bagaimana/ Kesan
Dengan ini, banyak kemudahan infrastruktur akan disediakan  oleh pihak pemaju di kawasan tersebut untuk keselesaan para pelancong.
Contoh
Tamsilnya, pihak pemaju akan membina chalet, jalan raya, perkhidmatan telekomunikasi dan sebagainya.
Penegasan
Sehubungan dengan itu, kawasan yang dahulu jauh daripada pembangunan tentunya akan menerima tempias dan sekaligus dapat membantu penduduk-penduduk sekitarnya merasai nikmat pembangunan.





PENUTUP

Perkara
Ayat
Kesimpulan/
Rumusan
Tuntasnya, perkembangan industri pelancongan bagai cendawan tumbuh selepas hujan ini sememangnya memberi banyak faedah kepada negara.
Cadangan
Lantaran itu, pihak berkenaan haruslah mengambil langkah sewajarnya untuk mengekalkan keunikan yang ada di negara kita supaya terus menjadi destinasi utama para pelancong.
Harapan
Dengan ini, sektor ini akan terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatan negara.
Pendirian
Jelaslah bahawa industri pelancongan ini memberikan manfaat yang besar kepada negara dan juga rakyat di negara ini.







Karangan Bahan Rangsangan Tingkatan 3: Kepentingan Kemudahan Awam Kepada Masyarakat Setempat




Pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan awam untuk kegunaan orang ramai. Antara kemudahan tersebut ialah lampu jalan raya, pondok telefon, pondok menunggu bas dan sebagainya.

Lampu jalan  dapat menerangi kawasaan sekitar terutamanya di sepanjang jalan raya. Kejadian kemalangan dapat dikurangkan kerana pemandu dapat melihat dengan jelas. Selain itu, kerajaan juga telah menyediakan pondok menunggu bas di merata-rata tempat. Hal ini dapat memudahkan orang ramai serta melindungi mereka daripada panas dan hujan.

Pondok telefon pula bertujuan untuk membolehkan orang awam membuat panggilan telefon terutamanya pada waktu kecemasan. Pada masa ini, pihak kerajaan telah memperbanyak bilangan kenderaan awam seperti bas, LRT dan sebagainya. Kemudahan pengangkutan awam ini dapat mengurangkan bilangan kenderaan yang semakin meningkat dijalan raya. Secara tidak langsung kesesakan di jalan raya dapat dikurangkan.
Konklusinya, kita perlulah menjaga kemudahan awam demi kepentingan semua ahli masyarakat di  negara kita.
                                                                                            ( 128 patah perkataan )

Karangan Bahan Rangsangan Tingkatan 3: Faedah-Faedah Berkebun Sayur





Aktiviti berkebun sayur merupakan kegiatan yang digalakkan oleh pihak kerajaan. Kegiatan ini bukan sahaja boleh dilakukan secara kemersil tetapi juga untuk keperluan diri sendiri.
            
        Melalui aktiviti berkebun sayur, kita dapat menyihatkan tubuh badan. Kerja-kerja seperti menyangkul, menggemburkan tanah dan menyiram tanaman akan menyebabkan seseorang itu berpeluh dan boleh mengeluarkan toksin daripada tubuh badan. Selain itu, apabila aktiviti ini dilakukan bersama-sama keluarga, secara tidak langsung hubungan kekeluargaan dapat dieratkan.
          
          Seandainya kegiatan berkebun sayur dilakukan secara komersil, aktiviti ini akan memberikan pulangan yang lumayan serta boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan keluarga. Di samping itu, aktiviti berkebun sayur juga dapat membekalkan kita sayur-sayuran yang segar dan terhindar daripada penggunaan bahan-bahan kimia seperti baja dan racun serangga.
        
    Konklusinya, semua pihak perlulah menyahut seruan kerajaan untuk mewujudkan bumi hijau di negara kita.
                                                                                                            
                                                                                                                 ( 129 patah perkataan)

Karangan Tingkatan 3: Langkah-Langkah Meningkatkan Sektor Pertanian Negara




          Bidang pertanian merupakan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Negara kita. Sektor ini perlu dimajukan supaya dayan pengeliaran Negara dapat ditingkatkan.
          
           Bidang pertanian memerlukan kajian dan penyelidikan yang berterusan. Melalui penyelidikan, kita mampu menghasilkan benih-benih tanaman yang berkualiti serta mampu mengeluarkan hasil yang banyak. Penggunaan racun serangga yang terkawal dapat menghindarkan serangga perosak daripada menyerang tanaman. Penggunaan baja pula mampu menyuburkan tanaman dan mengeluarkan hasil yang berkualiti.
           
        Kemudahan frasarana seperti system pengangkutan dan perhubungan perlulah ditingkatkan. Sistem pengangkutan yang sempurna akan memudahkan hasil pertanian dibawa ke bandar Akhir sekali, hasil pertanian juga boleh diproses dan  ditinkan untuk dieksport ke luar Negara. Dengan cara ini, keuntungan dapat diperoleh berlipat kali ganda di samping menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai.
          
        Kesimpulannya, sektor pertanian boleh dimajukan sekiranya langkah-langkah yang efisyen dilaksanaakan.                                               
                                                                                                            ( 120 patah perkataan)

Karangan Tingkatan 3: Cara-Cara Mengisi Masa Lapang




Kita perlu mengisi masa lapang secara berfaedah. Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh kita lakukan seperti memancing, membaca, bersukan dan sebagainya.

Bersukan merupakan aktiviti yang paling popular dalam kalangan masyarakat. Hal ini demikian kerana melalui aktiviti tersebut, kita dapat mengeluarkan peluh seterusnya menyihatkan tubuh badan. Selain itu, kita juga boleh mengisi masa lapang dengan cara menonton televisyen. Televisyen merupakan alat komunikasi yang menyebarkan pelbagai berita dan maklumat terkini. Televisyen juga merupakan alat hiburan yang dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Aktiviti memancing pula merupakan satu cara riadah yang dapat menenangkan fikiran. Selalunya, aktiviti memancing dilakukan pada hujung minggu atau cuti kelepasan am. Akhir sekali, kita juga perlu menjadikan aktiviti membaca sebagai satu cara mengisi masa lapang. Hal ini demikian kerana membaca menjadikan kita sebagai manusia yang berpengetahuan dan bermaklumat.

Konklusinya, ibu bapa perlu membimbing anak-anak agar mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah.
                                                                                                                   
                                                                                                ( 127 patah perkataan )

Karangan Tingkatan 3: Faktor-Faktor Berlakunya Kemalangan Di Jalan Raya




Kadar kemalangan di jalan raya telah meningkat dari semasa ke semasa. Kejadian kemalangan selalunya melibatkan kenderaan seperti kereta, motorsikal malahan pejalan kaki.

Faktor utama berlakunya kemalangan jalan raya ialah kecuaian pemandu. Terdapat segelintir pemandu yang memandu sambil menggunakan telefon bimbit dan ada yang memandu di bawah pengaruh alkohol. Kemalangan juga boleh berlaku apabila pemandu tidak mematuhi undang-undang di jalan raya. Contohnya, mereka memandu melebihi had laju, memotong kenderaan lain di garisan berkembar serta melanggar lampu isyarat.

Faktor jalan raya turut menjadi penyebab berlakunya kemalangan. Jalan raya yang berlubang-lubang, sempit dan mempunyai banyak selekoh akan menyukarkan pemanduan dan boleh mengundang kemalangan jika mereka tidak berhati-hati. Akhir sekali, jalan yang licin dan basah ketika hujan turut boleh membawa kecelakaan kepada pengguna jalan raya.

            Konklusinya, kita perlu menjadi pengguna jalan raya yang bertimbang rasa dan bertanggung jawab  supaya kadar kemalangan dapat dikurangkan.

                                                                                                                        126 patah perkataan

Karangan Tingkatan 3: Faedah Membaca Surat Khabar




            Surat khabar merupakan bahan bercetak yang memaparkan pelbagai berita dan rencana dan diterbitkan pada setiap hari. Masyarakat digalakkan membaca surat khabar agar dapat memperoleh pelbagai manfaat.
           
              Membaca surat khabar dapat meluaskan pengetahuan kita tentang perkara-perkara yang berlaku sama ada di dalam atau pun di luar negara. Membaca surat khabar juga merupakan aktiviti masa lapang yang berfaedah dan dapat menghindarkan diri daripada perkara-perkara yang meroskkan akhlak.
          
           Selain itu, kita dapat meningkatkan kemahiran berbahasa dan meluaskan kosa kata melalui surat khabar. Secara tidak langsung, kita dapat menghasilkan penulisan karangan yang menarik dan bermutu. Faedah seterusnya ialah kita dapat berkomunikasi dengan orang lain terutamanya tertang isu-isu semasa. 
         
          Konklusinya, kita perlu menyemai tabiat membaca dalam diri masing-masing kerana membaca akan menjadikan kita sebagai manusia yang berfikiran matang dan terbuka.
                                                                                                                      ( 126 patah perkataan )