Sunday 10 June 2012

Cikgu. . . Saya Sayang Cikgu ! ( karya Sabar Hj.Mohd)

         
Sesekali aku tersenyum melihat gelagat pelajar-pelajarku yang sibuk menghias gerai persatuan kami. Tahun ini sekolahku mengadakan ‘’Hari Koku’ secara besar-besaran. Syukri selaku pengerusi persatuan ku lihat begitu sibuk memastikan rakan-rakannya menjalankan tugas mereka sebaik-baik mungkin.  Ira, Raghini, Ema dan Rhu Jian dari tadi bertungkus lumus menyiapkan senarai menu dan tanda harga. Indiran dan Khairul pula menyiapkan  nama gerai. Begitu juga dengan yang lain-lain, mereka sibuk dengan tugas yang telah diberikan. Suasana agak riuh, dengan sesekali disulami  gelak ketawa .Aku terhibur.

Aku merenung jauh kehadapan. Pandanganku menjadi semakin kosong.  Fikiranku menerawang pada  memori yang tercipta di sebuah daerah yang kini telah lama ku tinggalkan. Sebuah estet  terpecil, tempat aku  memulakan karearku sebagai pendidik. Entah mengapa kenangan itu selalu sahaja menjentik setiap ruang benak ini, dan setiap kali  itu juga, hatiku diterjah kesebalan. Aku tiba-tiba dibungkam dengan penyesalan. “Egokah aku? Keras sangatkah hatiku? Betulkah keputusan yang telah ku buat ini?” Aku sering bermain dengan soalan-soalan yang hanya bisa meruntun diri ini.

‘Tolonglah tuan, saya tak sanggup nak mengajar di tempat terpencil seperti itu”, aku merayu pada pegawai yang bertugas di kementerian pelajaran pada ketika itu.
‘Tak boleh cikgu. Semua penempatan guru telah dibuat. Lagipun semasa temuduga dulu , cikgu telah bersetuju untuk di tempatkan di mana-mana sahaja mengikut kekosongan. Sekarang bila dah dapat, lain pula yang berlaku”  kata-kata itu begitu menyakitkan hatiku. Aku menarik muka masam menandakan protes. Muka selamba pegawai tersebut yang sesekali tersenyum sinis begitu menyakitkan hati.
’Kau tengoklah nanti, aku tetap akan tinggalkan tempat tu secepat mungkin’ getus aku dalam hati.
‘Ada apa-apa lagi yang boleh saya tolong, cikgu Magesh?’
‘Err…yer, aah tak ada apa, terima kasih’ jawab ku ringkas dan segera beredar.

Dari saat itu, bermulalah lembaran baru dalam episod hidupku. Aku terpaksa berada di suatu tempat yang begitu asing ku rasakan. Di kelilingi hutan yang merimaskan, pokok-pokok getah yang membatu, malam gelap yang sunyi lagi menakutkan, bunyi sang cengkerik yang membosankan, anak-anak sekolahan yang berhingus dan segala-galanya  kurang pada pandangan mata kasarku. Serba-serbinya ku rasakan begitu janggal.
“ Tempat apa nii…?” 
“Macam mana aku nak hidup dekat tempat macam ini?” hati ku  berkata-kata tatkala kali pertama menjejakkan kaki di daerah asing itu.

Dari jauh aku telah melihat papan tanda yang tertulis “SJK(T) Ladang Asahan. “ Aduh, bencinya aku, benci, benci!!” Hatiku terus menggerutu. Namun dengan hati maha  berat, aku gagahi juga untuk melangkah masuk ke perkarangan sekolah tersebut.  Perasaanku semakin  bungkam.

‘Eii, selekehnya’ hatiku berdetap ketika pertama kali melihat murid-murid di situ.       “Jijik!” Mungkin itulah ungkapan yang tepat ingin aku katakan. Perasaan jahat benar-benar menguasai aku.. Entah mengapa aku begitu jelek melihat keletah anak-anak sekolahan yang ada di hadapan mataku..
“selamat pagi cikgu,” kata mereka sambil tersengeh-tersengeh, menampakkan barisan gigi mereka yang rongak kehitaman, tak kurang juga kekuningan. Hatiku menjadi sebal. “cikgu ni cantiklah”, kedengaran beberapa suara nakal, yang hanya mengundang rasa benciku. Aku tahu mereka sebenarnya ingin berkenalan dan bermesra denganku.  Tapi entahlah… , yang aku rasakan cuma perasaan jengkel dan meluat dengan gelagat mereka. Aku langsung tidak mempedulikan mereka dan membiarkan mereka terkulat-kulat melihat aku pergi.

“Cikgu akan mengajar di kelas 6 Cerdik”  kata cikgu Mail GPK 1 sekolah tersebut sambil menuntun aku ke kelas berkenaan.
“Murid-murid, ini Cikgu Mageshwari. Cikgu Mageswari akan menjadi guru kelas kamu menggantikan Cikgu Khairul Anuar” Aku cuba tersenyum, tapi terasa begitu kelat. Maklumlah, tak ikhlas.
“yeehhh., kami dapat cikgu baru!!’ murid-murid darjah 6C bersorakan tanda gembira dengan kehadiran ku. Tapi aku…? Melihat pada wajah mereka yang comot dan pakaian mereka yang kotor lagi lusuh hanya membuatkan tekak ku rasa mual.  Aku cuba mengalihkan daripada pandangan yang amat tidak menyenangkaan itu. Tapi anak-anak itu seperti tidaak mengerti terhadap jiwaku yang bergejolak pada ketika itu. Mereka terus ketawa dan melompat riang menampakkan kaki mereka  yang bersisik dan berdaki.
“ Ohh! bala apalah yang menimpa diri aku ini? Apa aku nak buat niii…” fikiran ku ligat.

Suka atau tidak, aku terpaksa juga memulakan tugasku di sekolah yang aku sendiri tidak ingin berada di situ. Ketika berada di dalam kelas, aku bagaikan singa betina yang sentiasa ingin menerkan mangsa.. Aku menjadi guru yang garang dan ditakuti. Murid-murid yang pada mulanya begitu ceria dan ghairah menerima kehadiran ku mula menundukkan muka mereka. Tidak berani menentang pandangan mata ku tajam.

“Budak-budak ni bukan boleh diberi muka, nanti bertambahlah mengada-ngada”
getus aku dalam hati.

“Sundram, mari sini!!”, aku menjerit nama Sundram sekuat hati.
“Mengapa kerja awak tak siap? Mana latihan yang lain? Berapa kali saya kata tulisan mesti kemas!!’ Aku melontarkan kemarahan aku bertubi-tubi. Sundram hanya memandang aku dengan terkulat-kulat.  Mukanya selamba. Dia hanya melihat aku dengan pandangan yang kosong.  Keselambaannya itu menyebabkan api kemarahan ku menyala-nyala.
‘Zup!Zup!!’ aku membaling buku tersebut ke luar kelas. Sundram merenung tajam ke mukaku.
“Keluar! keluar!! Saya tak mahu tengok muka kamu lagi!!”
Aku menuding jari dan menjerit seperti orang hilang akal. Tanpa sebarang kata, Sundram keluar dari kelas. Tiba-tiba dia menendang mejaku tanda protes. Suasana kelas menjadi riuh rendah. Hatiku bertambah sakit, dan bahang  kebencian kian meluap-luap.
“ Budak miskin yang selekeh itu berani melawan aku, heii…geramnya aku!!”

Kes Sundram ku adukan kepada guru disiplin. Aku menokok tambah cerita. Cikgu Tan yang berang mendengar ceritaku telah menghadiahkan beberapa das rembatan di punggung Sundram. Muka Sundram kelihatan berkerut menahan sakit. Ada air jernih mengalir dari celahan kelopak matanya. Dia memandang aku seperti menagih secebis simpati. Namun itu tidak cukup untuk melupuskan egoku.
“Padan muka!!”
 Aku tersenyum penuh kepuasan. Tapi perasaan amarahku tidak juga reda.
“ Sabarlah cikgu, janganlah diikutkan perasaan cikgu yang marah itu,” nasihat cikgu Normah, kaunselor sekolahku..
“Cikgu Normah, budak-budak ni semua memang tak boleh diajar. Masa depan dia orang, hah, tu hah!  bawah pokok getah atau kat ladang kelapa sawit tu.   Tak kuasalah saya nak melayan dia orang ni…Apa lagi nak mengajar mereka ni. Dahlah bodoh, miskin, malas pulak tu,”  aku menjawab dalam nada sinis.

“Cikgu, kebanyakan murid di sini berasal daripada keluarga susah.  Ibu bapa mereka hanya bekerja di ladang estet yang gajinya tak seberapa. Jadi, kesedaran tentang pelajaran memang kurang. Tapi itu tak bermakna mereka bodoh atau susaah untuk dididik. Cikgu anggaplah situasi ini sebagai cabaran buat kita semua”
“Saya tak peduli semua tu. Keluarga mereka susah ke, apa ke, itu bukan urusan saya.” Suara angkuh begitu jelas aku lontarkan.
            “Kalau dah tahu miskin, buat apa belajar, berhenti sajalah. Pergi kerja estet cari duit tolong keluarga. Buat apa nak buang masa sekolah kalau dah tahu tak mampu…” gumam ku lagi meleret-leret.
 Cikgu Normah hanya menggelengkan kepala. Kesal benar nampaknya dia  dengan sikap aku yang keras kepala. Cikgu Ravi yang duduk berdekatan dengan mejaku hanya menelinga dan mendiamkan diri. Entah apa yang difikirkannya. Daripada beberapa orang guru, aku mendapat tahu bahawa cikgu Ravi merupakan satu-satunya anak estet yang berjaya melanjutkan pelajarannya di sebuah maktab perguruan. Setelah tamat belajar, dia memilih untuk berkhidmat di tempat asalnya. Sikap Cikgu Ravi yang tenang dan sentiasa sabar melayan kerenah murid-muridnya menyebabkan dia amat disenangi oleh murid dan masyarakat di situ. .

“ Cikgu Ravi, cubalah cikgu nasihat-nasihatkan sikit adik kita yang sorang ni…” Cikgu Normah cuba mengumpan dalam nada bergurau. Mungkin untuk meredakan suasana yang agak tegang itu. Aku melihar Cikgu Ravi sekadar tersenyum hambar  tanpa menoleh ke arah ku. Aku mencemikkan muka.
“ Ahh, aku peduli apa…”
“ Dia lain, tapi aku lain. Dia memang dah biasa dengan suasana hutan ni, tapi aku? Aku adalah anak kelahiran bandar yang serba-serbinya lengkap dan teratur.” Aku tetap aku, langsung tak ambil pusing  apa yang orang lain nak cakap mengenai aku.

Sepanjang hari itu aku tidak dapat menumpukan perhatian pada tugas. Aku menjadi keliru. Beberapa orang guru lain cuba menenangkan aku, tapi semua itu tidak dapat meredakan perasaan amarah yang menyala ini. Perasaan yang tidak terkawal itu ku bawa pulang ke rumah. Aku menelefon ibuku di bandar dengan menghamburkan semua yang berlaku sambil menangis teresak-esak.

“Makk, tolonglah suruh ayah ikhtiarkan supaya saya dapat pindah dari sini. Saya dah tak tahan duduk di sini. Saya benci, benci!! Kata ku sambil mengongoi tersedu-sedu.
“Sabarlah sayang, mak akan suruh ayah kau jumpa Yang Berhormat supaya  pindahkan kau  ke sini. Sabar nak yaa!! Terdengar sayup suara ibuku di hujung talian. Ada nada sedih dalam suaranya. Aku tahu ibuku turut risau dengan keadaan aku di sini.

Tidak sampai setahun bertugas di situ, entah telah berapa kali permohonan untuk pindah aku ajukan. Aku begitu nekad. Bagiku tempatku bukan di sini. Aku tak ingin terus bergelumang dengan masyarakat yang serba dhaif itu.Aku akan memberikan apa-apa sahaja alasan, asalkan aku keluar dari daerah yang membosankan ini.
“ Mengapa ni cikgu Magesh, baru enam bulan cikgu mengajar di sekolah tersebut, tapi dah mohon untuk pindah?” kata Tuan Pengarah Pelajaran sebaik meneliti borang permohonan pindah yang aku ajukan.
‘Tolonglah tuan, saya tak dapat menyesuaikan diri dengan sekolah tersebut. Saya benar-benar mohon dipindahkan.” aku merayu menagih simpati.
“Cikgu Magesh, inilah cabaran yang kita lalui sebagai pendidik. Anak-anak itu bukan sahaja dahagakan ilmu, tetapi juga perhatian dan kasih sayang. Cikgu bukalah ruang dalam hati cikgu itu untuk mereka, saya percaya cikgu akan berasa lebih tenang memikul tanggung jawab ini’ nasihat tuan pengarah dengan lembut dan penuh sifat kebapaan. Tapi hatiku keras seperti batu.
‘Tolonglah tuan, saya tetap dengan keputusan saya untuk berpindah. Saya tak boleh menyesuaikan diri dengan pelajar yang sebegini” aku tetap dengan keputusanku.
“Saya tak dapat janjilah, sebab cikgu baru sangat lagi bertugas di sekolah tersebut. Bagaimana pun cikgu boleh ajukan permohonan terlebih dahulu mengikut prosidur yang betul” Jawapan pengarah pelajaran tersebut mengecewakan aku.

Satu hari yang cerah, aku menjerit kegirangan tatkala membuka sepucuk surat daripada pembantu pejabat. Akhirnya impian untuk berpindah menjadi kenyataan. Melalui pertolongan seorang yang berhormat yang menjadi kenalan ayahku, aku akhirnya akan segera meninggalkan daerah terpencil ini.
“Selamat tinggal hutan, selamat tinggal pokok getah, selamat tinggal penderitaan….” Hatiku  berbunga keriangan.
Semua barangku awal-awal lagi telah kukemaskan. Sebelum berangkat, aku terlebih dahulu ke sekolah buat kali terakhir atas permintaan guru besar. Setiba di sekolah,  aku dikejutkan dengan satu majlis perpisahan  bertujuan meraikan pemergianku. Rupa-rupanya guru besar telah merancang majlis tersebut dan meminta murid-murid membawa sedikit juadah.
“Cikgu, semua juadah ini telah dibawa oleh murid-murid kita” kata tuan guru besar.
Aku memerhatikan juadah yang terhidang. Tosei, wadeh, itheli, pragasam, dan pelbagai makanan tradisional yang lain memenuhi meja di hadapanku.

Majlis dimulakan dengan ucapan ringkas daripada tuan guru besar. Pengerusi majlis kemudiannya meminta aku tampil untuk menyampaikan  sepatah dua kata. Dengan hati yang berat dan tidak ikhlas aku penuhi juga permintaan tersebut. Seperti biasa, murid-murid tetap memberikan tepukan gemuruh walaupun ucapan ku lebih bersifat mementingkan diri ku sendiri dan  langsung tidak menghargai  usaha mereka atau sekurang-kurangnya mengucapkan selamat tinggal kepada mereka.
“Baiklah, silakan makan semua” guru besar mempersilakan sebaik sahaja ucapan ku selesai.
Aneh, tidak seorang pun daripada murid-murid  yang berjumlah seramai 98 orang itu yang  berebutkan makanan, seperti mana yang aku jangkakan dari tadi, sedangkan aku yakin mereka pasti lapar. Mereka berdiam diri sambil mata masing-masing menyorotkan pandangan ke arah aku. Pandangan yang aku benar-benar tidak mengerti, sukakah? Bencikah atau apa??
“Cikgu, makanan ini murid-murid kita bawa khas untuk cikgu. Silalah” kata guru besar lagi.
Aku terkedu. Begitu besar hati mereka untuk seorang aku yang tidak pernah berterima kasih ini. Mataku mula bergenang. Tapi semua itu ku tahan dan kuatkan hatiku.                               “Oh, Tuhan…mengapa tiba-tiba hatiku menjadi selemah ini. Tidak, aku tidak akan menangis hanya kerana mereka meraikan aku. Aku harus segera pergi! Pergi!” egoku terus berbisik.

Selepas menjamah sedikit makanan, guru  besar meminta semua murid berbaris. Seorang demi seorang mencium tanganku. Perasaan ku ketika itu bercampur baur. Pada saat aku ingin melangkah pergi, sepasang mata kuyu merenungku dengan pandangan tajam. Perlahan-lahan tubuh kecil dan kurus  itu datang menghampiri aku.
 “ Cikgu…!” Hanya itu yang terucap dibibirnya. Mulutnya bergerak-gerak seakan ingin mengucapkan sesuatu. Beberapa kali ku lihat dia menelan air liur, tapi tiada lagi suara yang keluar. Tiba-tiba dia mengeluarkan sesuatu dari kocek seluarnya yang lusuh dan menghulurkan padaku.. Bungkusan itu ku ambil dan terus menyimpannya ke dalam beg tanganku. Aku terus berlalu meninggalkan sebatang tubuh kecil yang masih berdiri memandangku.

Bas ekspres yang membawaku pergi dari daerah sepi ini semakin jauh. Aku cuba melelapkan mata, tetapi di segenap ruang kotak kepalaku hanya dipenuhi wajah-wajah kecil yang comot, yang baru aku tinggalkan tadi. Anehnya perasaan ini. Bukankah aku sepatutnya berasa gembira kerana segala apa yang aku inginkan telah menjadi kenyataan. Keinginanku untuk berpindah  dan meninggalkan segala kesepian daerah terpencil ini telah menjadi kenyataan.

Perlahan-lahan tanganku membuka lipatan kertas yang membungkus hadiah itu. Sebatang pensil pendek diasah tajam dan sebiji pemadam yang dipotong kemas, dibalut rapi dengan secebis kata yang tulisannya tunggang langgang, akhirnya meruntuhkan segala kekebalan egoku.
 “ Terima kasih, cikgu, saya sayang cikgu. Daripada : Sundram”
 Ungkapan keramat itu ku rasakan begitu ikhlas, begitu tulus,  daripada seorang anak dhaif  berhati besar.
Tiba-tiba sahaja pandanganku berpinar dan berkaca. Kolam mataku  tak mampu lagi menakung air jernih yang membuak-buak.. Air mata ku mendesah keluar bagai empangan pecah. Tangan ku menggelatar, bahu ku terhinjut-hinjut, dan tanpa aku sedari aku menangis semahu-mahunya.
Penumpang lain yang duduk berdekatan memerhatikan gelagatku dengan seribu tanda tanya. Semua itu tidak aku pedulikan lagi. Oh Tuhan, alangkah anehnya perasaan ini…alangkah!! “Maafkan cikgu…maafkan cikgu….” Hanya itu yang mampu terucap dibibirku.

“Cikgu, gerai kita dah siap!” lamunan ku terhenti tatkala mendengar suara Syukri. Cepat-cepat aku menyeka air mata yang masih berbekas dipipi. Mudah benar air jernih ini mengalir keluar setiap kali memori itu berlegar di kotak fikiran ku. Aku melihat murid-muridku yang lain melambai-lambaikan tangan sebagai isyarat supaya aku datang melihat hasil kerja mereka.
“Ok,  cikgu datang ni, cikgu bawa minuman dan kuih untuk kamu semua!!” melihat aku  membawa minuman, mereka melompat kegirangan.
 “Terima kasih cikgu! terima kasih cikgu!” jerit mereka dengan gembira. Aku tahu, ucapan itu begitu luhur. Aku melihat keletah mereka dengan penuh kasih. Perasaan  damai dan menghiburkan menyelinap di setiap sarafku.. Aku tak mungkin akan melakukan kesilapan yang sama. Dalam hati aku berkata,
  “cikgu sangat menyayangi kamu!!”

[ Karya ini telah dipertandingkan dalam Peraduan Menulis Cerita kanak-kanak Peringkat Kebangsaan sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2011 ] 







Cerpen Bila Seluang Melaut


Come on lah Dira, you tak boleh terus-terusan berdendam dengan keluarga you sendiri. Walau pun you marah kepada ayah you, tapi takkan you tak kasihan kepada mak dan adik-adik you, takkan you  tak rindu kepada mereka,” nasihat Jessie, teman aku yang paling baik dan kini sama-sama bertugas sebagai pensyarah di Swinburne University of Melbourne.
            “Kau tak faham Jessie. Kau tak rasa apa yang telah aku rasa dan tanggung selama ini.” kata Dira seakan berbisik.
            “Dira, air dicincang tidak akan putus. Walau apa sekalipun tanggapan you kepada mereka, mereka tetap ahli keluarga you.  Darah daging you sendiri. Keluarga ni kita tak akan dapat mencarinya di mana-mana tau, walau di hujung dunia sekalipun you  pergi. Fikir-fikirkanlah. Janganlah biarkan perasaan ego mengatasi kewarasan fikiran you,”  Jessie seperti berputus asa untuk menasihati aku.

            “Betul cakap Jessie tu Dira. Kita boleh cari wang dan harta kekayaan, tetapi keluarga tidak. Kau beruntung sekurang-kurangnya masih ada keluarga, tapi aku….” sampuk Ratna yang dari tadi hanya memasang telinga atas perbualan kami.

 Ratna adalah  rakanku ketika menuntut di Swinburne University sepuluh tahun yang lalu.  Bilangan Pelajar Malaysia yang boleh dikira dengan jari menyebabkan hubungan kami bertiga sangat rapat. Walaupun kini dia telah bertugas di Alfred Hospital, namun persahabatan kami tidak pernah terputus. Setiap kali ada kelapangan, pasti kami akan bertemu untuk berbual dan berkongsi pandangan dalam semua hal. Merekalah tempat aku mengadu dan melepaskan apa-apa tekanan yang aku alami.

            “Kalaulah aku masih ada keluarga, aku tak akan lepaskan peluang untuk bersama-sama mereka,” suara Ratna perlahan. Ada nada sedih dan ralat  dalam kata-katanya itu.
            Ratna telah dibesarkan di sebuah rumah anak-anak yatim di Kelang, Selangor. Dia kehilangan ibu bapa dan seorang abang dalam satu kecelakaan jalan raya yang mengorbankan semua ahli keluarganya. Keazamannya yang kuat untuk menimba ilmu  telah mengubah nasibnya kini.

Selepas mencapai kejayaan cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Ratna mendapat tajaan sepenuhnya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di University Of Swinburn, Melbourne .  Setelah tamat pengajian, Ratna kemudiannya mengambil keputusan untuk menimba pengalaman di bumi kanggaroo ini. Aku sendiri gigih meneruskan pengajian hingga berjaya ke tahap doktor falsafah dan kemudiannya ditawarkan bertugas sebagai pensyarah di universiti yang sama dalam  Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

            “Sabarlah Ratna, pasti segala peristiwa yang kau lalui itu ada hikmahnya,” aku pula yang menasihati dan menenangkan  Ratna. Jessie hanya mengangguk tanda simpati.

Malam itu  masa yang berlalu aku rasakan sangat panjang. Kondominium yang terletak di kawasan perumahan mewah di St.Kilda Avenue ini tidak lagi menjadi kebanggaan buat seorang aku. Tidurku telah beberapa kali terganggu. Aku menggelisah. Dari sebalik tabir kondominiumku yang terbuka, aku merenung wajah bandaraya Melbourne yang sentiasa hidup dan sibuk. Ratusan ribu lampu neon yang indah dan berwarna warni tidak lagi indah pada pandangan mataku. Apa yang aku rasakan hanyalah sebuah  kegelapan malam yang suram,  sesuram hati aku dikala ini.

“Ya Allah, Kau berilah aku petunjuk dan kekuatan untuk berhadapan dengan semua ini.”  Kepalaku terasa panas. Wajah ayah, wajah emak dan adik-adik bertukar ganti di dalam benak ini.
“Sudah sepuluh tahun Dira tak balik, pulanglah nak, Mak rindu pada Dira. Dira tak sayang pada emak ke, tak ingat pada kampung halaman lagi ke?” rayuan mak kali ini telah menggigit-gigit tangkai hatiku.  

Masih terngiang-ngiang suara emak merayu di hujung talian. Aku tiba-tiba menjadi sayu. Entah mengapa pendirianku kali ini mula goyah. Hatiku yang selama ini begitu keras seperti batu mula rapuh. Cuma yang aku rasa kini kerinduan terhadap desa kelahiranku semakin kuat bertapak di hati ini. Rindu kepada Ibu, Angah, Alang, Ucu, dan pada aa…., ahh!! mungkinkah!!  Wajah ayah kembali berlegar-legar dalam kepalaku.

Ayah seorang yang amat mementingkan disiplin. Mungkin latar belakangnya sebagai Guru Disiplin menyebabkan ayah begitu tegas dalam mendidik anak-anak. Waktu makan, waktu bermain, waktu belajar dan semuanya mesti dilakukan pada masa yang betul.  Bilik tidur, buku sekolah dan semua alatan persekolahan perlu tersusun rapi. Tiada siapa yang berani melanggar peraturan ayah. Ayah begitu tegas dalam mendidik kami, sama tegasnya ketika ayah berhadapan dengan kerenah murid-muridnya di sekolah. Namun aku tahu ayah amat mengasihi kami sekeluarga. Buktinya, ayah tidak pernah mengabaikan kebajikan dan keperluan kami. Cuma peraturan ayah yang ketat menyebabkan aku dan adik-adik berasa terseksa.

 Persis sebuah tayangan opera, ingatan aku menggamit semula memori yang menjadi penyebab aku berkelana  ke sini, seperti orang terbuang layaknya.

            “Pangg!!” Satu tamparan maha hebat dan maha sakit hinggap di pipiku yang mulus secara tiba-tiba, sebaik-baik sahaja aku melangkah masuk ke dalam rumah. Aku terkedu dan tergamam. Aku menyeringai menahan sakit. Namun dalam sedar dapat ku agak puncanya.

            “Berapa kali ayah cakap jangan keluar rumah tanpa izin mak atau ayah, tapi mengapa Dira degil? Mengapa tak dengar cakap ayah. Kau nak jadi apa ni?” Ayah seperti kehilangan punca.

“Dira pergi mana? Pergi mana? Cakap !!” Bentak ayah dengan kuat. Aku melihat mata ayah merah. Aku menjadi takut. Aku tahu ayah terlalu marah.

“Matilah aku kali ini,” getus hatiku sambil menahan sakit yang amat sangat.

“Dira…Dira pergi ke  perpustakaan dengan kawan-kawan, ayah,” aku menjawab perlahan dan terketar-ketar.

“Perpustakaan? Jam 8.30 malam baru sampai rumah, perpustakaan apanya?” Aku sangkakan jawapanku tadi dapat menyelamatkan aku daripada terus dimarahi ayah, tapi ternyata jangkaan tersebut meleset. Ayah semakin menyinga.  Ayah menyeret tanganku sekuat-kuat hatinya masuk ke bilik dan menghenyak tubuhku di suatu sudut.

“Kau dah pandai menipu pulak ya. Sudah berulang-ulang kali ayah cakap, jangan keluar tak tentu hala. Tumpukan peperiksaan SPM yang hanya tinggal beberapa bulan lagi, tapi mengapa degil sangat hah!! Mengapa tiba-tiba Dira jadi macam ni? Hantu apa yang dah merasuk diri Dira ni?”  Aku hanya membatukan diri dan diam membisu seribu bahasa. Melihatkan aku berkeadaan  begitu, amarah ayah  seakan tidak terkawal lagi.

“Heii budak ni, mati aku kerjakan karang. Kau memang nak sangat ya!!” ayah semakin berang.

            “Zap! zap! zap!!” ayah merembat belakangku dengan tali pinggangnya. Aku meraung kesakitan.
            “Ampunkan  Dira,ayah.  Dira tak buat lagi. Makk, tolong Dira makkk..!! Aduiiii.., aduii…, ampunkan Dira ayah!! Dira tak buat lagi ayahhh!!’ tapi raunganku itu sia-sia kerana langsung tidak mendapat simpati daripada ayah.

Nampaknya tahap kesabaran ayah telah hilang. Ayah seperti orang hilang akal dan terus membelasah aku dengan tali pinggangnya. Akhirnya aku tidak lagi bermaya untuk pertahankan diri. Aku hanya mampu berserah. Pandangan mataku berpinar-pinar.

            “Astaghafirullahalazim…,Sudahlah bang…sudahlah! Mati anak kita nanti, mengucaplah bang, sudahlah!!!” Aku  terdengar suara ibu  merayu berkali-kali meraih simpati ayah supaya tidak terus membelasah aku. Ibu  menangis terngongoi-ngongoi melihat kesakitan yang aku tanggung. Malah aku tahu, beberapa das rembatan ayah tadi turut singgah di badan ibu tatkala cuba melindungi aku.

            “Anak tak tahu diuntung. Aku jaga kau seperti menatang minyak yang penuh, aku sediakan semua keperluan kau secukupnya, tapi ini balasan kau pada aku.  Kau nak aku mati cepat ke baru puas hati kau!! “ ayah terus membentak dengan  mata yang merah menyala. Aku menjadi kecut. Aku terus memeluk emak mengharap  perlindungan. Kami akhirnya sama-sama menangis.

            Mendengar suasana riuh-rendah di rumah, jiran kami Baba Neo dan Nyonya Tey datang menjenguk. Kedatangan mereka ku kira sebagai penyelamat keadaan. Nyonya Tey berlari mendapatkan aku dan emak. Nyonya Tey yang begitu rapat dengan emak menitiskan air mata melihat keadaan kami. Baba Neo pula yang selama ini ku panggil uncle segera memegang bahu ayah dan menenangkan ayah.

            “Che Man, janganlah ini macam.  Bawa bertenang Che Man,” pujuk Baba Neo beberapa kali sambil tangannya segera mengambil tali pinggang di tangan ayah. Baba Neo turut menarik tangan ayah keluar dari bilik dan menjauhi aku. Bimbang aku dibelasah lagi oleh ayah agaknya.

            “Saya malu Baba Neo. Saya malu!!  Dari kecil saya didik dia dengan sempurna. Semua kemahuan dan keperluannya saya penuhi. Sebagai anak yang sulong, saya menaruh harapan yang tinggi supaya dia menjadi contoh terbaik kepada adik-adiknya, tapi mengapa dia buat saya macam ni?”  Ayah tidak lagi menyembunyikan perasaannya daripada Baba Neo.

            “Budak-budak semuanya memang ini macam Che Man, tapi kita tak boleh hukum dia banyak keras, nanti kalau jadi apa-apa sama dia, lagi kita susah,” antara terdengar dengan tidak suara Baba Neo yang sedikit telor hinggap di cuping telingaku. Suara itu kemudian perlahan-lahan hilang dari pendengaranku. Aku terlelap kerana terlalu keletihan.
Semenjak peristiwa aku dibelasah oleh ayah dengan teruk, seminggu lamanya aku mengurung diri di dalam bilik. Selama seminggu itu jugalah aku tidak ke sekolah.

“ Aku benci ayah!! Aku benci ayah !! Hati aku menjerit-jerit.

            “Dira, mari makan nak, mari makan sayang…sudah seminggu Dira tak jamah nasi, nanti Dira sakit, kasihanlah pada emak Dira, makanlah nakk…” ibu terus merayu.

            Aku hanya mampu melihat ibu menangis tapi badanku terasa lemah. Seluruh anggota badanku masih terasa sakit. Air jernih dari kelopak mata ibu bercucuran melihat aku berkeadaan begitu.

            “Biarkan Dira mati mak, biarkan Dira mati, Dira benci ayah, ayah memang tak sayang pada Dira!!” Aku bertempik melepaskan amarah yang masih bersarang dalam hati ini.
            “Jangan salahkan ayah nak. Ayah sayang pada Dira. Sebab sayanglah ayah bertindak seperti ini. Ayah tak mahu Dira tersilap langkah dan merosakkan masa depan Dira sendiri,” kata-kata ibu yang lembut di cuping telingaku tidak berjaya menghilangkan kemarahan yang meluap-luap ini.

            “Ahh! Mak pun sama seperti ayah. Semua yang  Dira buat tak betul. Itu salah, ini salah, Dira bosan, bosan!!!” Aku menjerit lagi sekuat-kuat hati tanpa mempedulikan mata adik-adikku yang  dari tadi memerhatikan gelagat aku.

            Benarlah kata pepatah, sejauh mana seluang melaut, akhirnya pulang ke lubuk jua. Aku mengambil keputusan nekad untuk pulang ke kampung sempena cuti Aidil Fitri yang akan menjelma seminggu lagi. Entah mengapa, panggilan untuk pulang ke tanah air begitu kuat merantai hati ini. Tiba-tiba aku dilanda gelora rindu yang maha hebat kepada emak, adik-adik, sawah padi dan ……. ayah . Mungkin! Aku segera membuat tempahan tiket dengan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang berpengkalan di Bandaraya Melbourne ini.  Hatiku telah nekad untuk pulang.

            Hari untuk berangkat telah tiba. Ratna dan Jessie sama-sama menghantar aku ke Melbourne Tullamarine Airport, sebuah lapangan terbang di Bandaraya Melbourne yang sentiasa sibuk dengan ribuan manusia dari pelbagai pelusuk dunia.

            “Selamat jalan Dira. Aku bangga kerana kau telah membuat keputusan yang tepat,” kata Jessi ketika menjabat tanganku sebelum pergi.

            Ratna pula memelukku erat sambil mengucapkan selamat jalan. “Sampaikan salam aku kepada semua ahli keluarga kau di Malaysia. Aku percaya kepulangan kau akan menjadi sinar yang sangat dinanti-nantikan oleh mereka.” Ratna sempat berbisik.  Aku membalas kata-kata Ratna itu dengan senyuman yang hambar. Aku sendiri tidak pasti apa yang bakal berlaku nanti.
            Suasana di dalam perut pesawat tenang. Yang kelihatan hanya kesibukan paramugari dan paramugara  pantas menghidangkan minuman dan makanan kepada para penumpang. Aku langsung tidak mempunyai nafsu untuk makan walaupun telah berpuasa sepanjang hari tadi.  Aku lebih suka melayan perasaan dan membuka lembaran demi lembaran memori masa laluku.

            Petang itu, sebagaimana yang dijanjikan, Zali datang menjemput aku di tempat biasa. Zali adalah pelajar Tingkatan Enam di sekolahku yang menjadi perhatian kebanyakan pelajar. Aku bangga apabila dipilih oleh Zali sebagai teman istimewanya. Pertemuan ketika aktiviti gotong-royong sekolah telah membuahkan perasaan yang istimewa antara kami. Sejak itu, aku dan Zali sering keluar bersama-sama.

            “Dira dah lama tunggu?” wajah tampan Zali tersenyum tatkala dia sampai menjemput aku di hujung jalan masuk ke sekolah kami. Wajah tampan yang menjadi kegilaan pelajar sekolah aku itu begitu ceria.

            “Kita pergi menonton wayang ya, ada cerita baru.” Kata Zali lagi sambil memakaikan topi kaledar di kepalaku. Aku mengangguk manja.

            Bermula pada saat itu juga, aku mula cuai terhadap pelajaran. Aku juga sudah mula pandai menipu ayah dan emak. Aku sering pulang sekolah lewat senja dengan alasan menghadiri kelas tambahan di sekolah atau mengulangkaji pelajaran di perpustakaan.  Sebaliknya aku keluar bersiar-siar dengan Zali. Kadang-kadang kami ke pusat beli belah, kadang-kadang melepak di taman atau sesekala melihat tarian ombak di tepian pantai Tanjong Puteri yang indah. Di situlah  kami menjadi Mat Jenin moden yang  berangan-angan tentang masa depan, tentang bilangan anak-anak yang ingin kami miliki dan pelbagai lagi. Ahh, angan-angan kosong yang sangat indah!

            Langit tidak selalu cerah. Satu hari ayah menerima panggilan telefon daripada Cikgu Khairul, rakan sejawatnya yang bertugas di sekolahku.  Cikgu Khairul meminta kerjasama ayah agar datang ke sekolah kerana perlu berbincang beberapa perkara tentang aku.

            “Tapi setiap hari anak saya pergi ke sekolah cikgu. Saya sendiri yang menghantarnya sehingga di hadapan pintu pagar sekolah.” Jawab ayah setenang yang mungkin sebaik-baik sahaja dimaklumkan oleh Cikgu Khairul.

            “Termasuk hari ini, bermakna Nadhira dah tak hadir ke sekolah selama sepuluh hari. Saya telah menghantar surat amaran sebanyak dua kali kepada Cikgu Azman sebelum ini untuk memaklumkan ketidakhadiran Adira ke sekolah. Ini dia salinan surat-suratnya.” Terang Cikgu Khairul panjang lebar sambil menunjukkan salinan surat amaran tersebut  kepada ayah. Dahi ayah berkerut.
Semua tindak-tanduk aku selama ini telah diadukan kepada ayah. Ayah benar-benar malu. Ayah benar-benar rasa terpukul oleh perbuatanku, anak yang menjadi harapannya selama ini. Yang pasti, ayah berasa kewibawaannya sebagai pendidik begitu tercabar kerana  telah gagal mendidik anaknya sendiri.

Mengenang masa lampau, kolam mataku tidak lokek melimpahkan air jernih yang hangat. Aku sekadar membiarkan air jernih itu membasahi pipi ini dengan harapan air jernih itu dapat membasuh semua parut yang masih membekas.

Penerbangan selama lapan jam amat singkatku rasakan. Kedengaran suara kapten kapal terbang mengumumkan pesawat yang aku naiki telahpun tiba ke destinasi yang dituju dan akan mendarat di KLIA pada bila-bila masa sahaja. Dadaku berdebar-debar.

Setelah selesai mengambil semua begku di tempat pengambilan bagasi, aku berjalan keluar dengan perasaan yang bercampur baur. Dari jauh telah terlihat wajah ibu, Angah, Alang dan Ucu yang sungguh ceria sedang melambai-lambaikan  tangan ke arahku.

            “Dira, Dira!! Mak di sini Dira,” kedengaran suara ibu begitu teruja dengan kepulangan diri ini.

Aku meluru ke arah mereka dan memeluk ibuku seerat mungkin. Kerinduan kepada ibu yang ku simpan selama lebih sepuluh  tahun sepanjang berada di bumi kangaroo itu seakan tidak tertanggung lagi.

            “Makk, Dira rindu pada mak, ampunkan Dira mak,” hanya itu perkataan yang keluar dibibirku. Angah, Alang dan Ucu turut memelukku erat satu persatu.

            “Selamat kembali ke tanah air Kak Long, kami semua rindu akan Kak Long,” kata Angah yang telah pun beristeri dan  kini bertugas sebagai jurutera di sebuah syarikat gergasi di sini.

 Aku bangga melihat adik-adikku. Seperti Angah, Alang juga punya kerjaya hebat. Alang kini merupakan seorang pakar perubatan di Hospital Besar Melaka, manakala Ucu pula baru saja menamatkan pengajian lanjutan peringkat sarjana dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Aku menatap wajah adik-adikku satu persatu yang segak dan bergaya. Dalam diam, aku mengagumi ayah. Ayah yang hanya guru lepasan maktab perguruan, tetapi telah menjadikan tiga orang anak terunanya insan yang berjaya. Namun aku mula merasakan kekurangan sesuatu. Aku menoleh ke kiri dan ke kanan. Mataku liar mencari seseorang. Ah, mana ayah? Marah sangatkah ayah kepada aku? Benci sangatkah ayah kepada anaknya yang seorang ini sehingga tidak sudi menyambut kepulangan aku. Dadaku bagaikan ingin pecah menahan perasaan. Tetapi aku hanya mampu  berdiam diri dan menelan semua gejolak yang bersarang di dada ini.

            “Ayah mana, mak? Akhirnya perkataan tersebut terpacul juga dari mulutku.

            “Ayah masih marah pada Dira lagi? Ayah tak suka Dira pulang ke?  Atau  ayah benar-benar benci Dira?” Pertanyaan yang bertalu-talu menyebabkab ibu tidak keruan untuk menjawabnya.

            “Tenang Dira. Ayah ada di rumah nak, ayah tak berapa sihat.” Ibu cuba menjawab setenang yang mungkin sambil menggenggam tanganku dengan kemas.

            “Ayah memang benci Dira dari dulu lagi. Dira dah buktikan kepada ayah bahawa dira boleh berjaya dalam hidup. Apa lagi yang ayah tak puas hati pada Dira.” Wajahku sengaja ku masamkan.
Ada sedikit ego menyelimuti diriku pada saat itu. Maklumlah, aku bukan lagi Dira yang dulu. Aku kini Profesor Dr.Adira Azman, seorang cendekiawan yang banyak menghasilkan penulisan ilmiah serta menjadi rujukan banyak pihak.

            “Kak Long, marilah kita balik ke rumah dulu. Angah pasti ayah juga tertunggu-tunggu kepulangan kak Long,” pujuk Angah pula.

Sepanjang perjalanan, aku hanya berdiam diri melayan perasaan. Pelbagai kenangan masa lalu ligat berputar dalam kotak fikiran ini. Pada satu-satu ketika, kereta yang dipandu Angah akan melewati beberapa tempat yang pernah menjadi sejarah antara aku dan Zali, dan sejarah itulah yang telah menyebabkan aku  membawa diri jauh beribu-ribu batu.

            Saat kereta dipandu Angah menyusur masuk ke kawasan rumah kami, aku dihantui rasa sayu. Telah begitu lama aku tinggalkan gerobok buruk tempat aku dibesarkan. Deretan pasu bunga kegemaran ibu masih tersusun di tempat yang sama. Suasananya begitu hening dan  sepi. Tidak banyak yang berubah.

            “Adik-adik kau nak robohkan rumah ini dan buat yang baru, tapi ayah tak izinkan. Kata ayah, dia tak mahu ada apa-apa yang berubah,” tiba-tiba emak bersuara. Mungkin emak dapat membaca fikiranku pada ketika itu.

Pada saat aku leka memerhatikan dan mencari perubahan rumah yang ku tinggalkan sejak sekian lama itu, aku tersedar ada sepasang mata yang tajam sedang merenung ke arahku. Pandangan yang tidak lepas itu seakan begitu sarat dengan rasa rindu yang menggunung.

            “Ayahh!!” Hanya sepatah kata yang keluar dari mulutku.  Kerongkong aku bagaikan tersekat. Aku dapat melihat dengan jelas kelopak mata ayah  berkaca-kaca digenangi air jernih. Namun aku masih berdiri kaku, melihat sekujur tubuh tua yang jelas dimamah usia.

 Ayah tidak lagi seperti yang kubayangkan. Garis-garis tua begitu jelas terpancar di wajahnya. Tangan ayah yang berkedut kasar menyedarkan aku, betapa orang tua ini telah banyak berkorban untuk kami sekeluarga. Aku semakin dihambat rasa berdosa.

            “Dira, selamat pulang nak,” kata ayah pendek.

Kata-kata ayah yang secebis itu bagai halilintar yang mengoyakkan segala  egoku. Kata-kata ayah yang secebis itu bagai panah memecahkan bongkah ais yang telah membekukan hati dan perasaanku selama ini.  Aku bagai dikejutkan daripada satu igauan yang maha panjang. Barulah aku melihat lelaki sebenar yang berada di hadapanku itu adalah ayahku. Ayah yang selama ini mengorbankan kepentingan dan keinginan peribadinya demi melihat aku menjadi manusia sempurna. Aku berdosa kepada ayah…aku berdosa kepada ayah!!

 Dadaku berombak kencang. Kolam mataku tidak mampu lagi menakung  air jernih yang menanti masa untuk melimpah keluar. Tanpa aku sedari, aku berlari sekuat hati mendapatkan ayah yang kelihatan begitu uzur dan lesu.

            “Ayahhh!! Ayahh!!“ Aku memeluk ayah seerat-eratnya.

“Ampunkan Dira ayah! ampunkan Dira ayah!! Dira berdosa kepada ayah , ampunkan Dira ayah!!” Aku terus merintih dan meratap seperti anak kecil minta dibelikan mainan.

“Dira berdosa pada ayah. Dira anak yang derhaka kepada ayah, ampunkanlah Dira ayah…!” Aku  terus memeluk ayah dengan erat.

 Perlahan-lahan aku dapat  merasakan  jejari kasar ayah membelai rambutku. Aku dapat merasakan keikhlasan kasih seorang ayah kepada anak yang sangat dikasihinya. Alangkah tulusnya kasih seorang ayah, alangkah… dan aku terus menangis semahu-mahunya seolah-olah ingin  membasuh segala dosa dan perbuatan masa laluku  terhadap ayah.

“Syukurlah nak, Dira dah kembali di sisi ayah, emak dan adik-adik. Setiap masa, dan setiap saat ayah berdoa untuk kesejahteraan Dira. Ayah berdoa untuk kebahagiaan Dira. Ayah berdoa agar Dira kembali kepangkuan keluarga,” kata ayah perlahan tetapi cukup jelas pada pendengaran ku. Aku berasa begitu bersalah melihat air mata ayah berguguran.

Hari yang sangat indah ku rasakan. Angah dan adik-adik telah merancang majlis berbuka puasa yang sangat istimewa. Mak Su dan Pak Su yang menetap di Kuala Lumpur turut gembira dan segera pulang ke kampung setelah mendengar berita kepulanganku. Ibu turut menjemput Baba Neo, Nyonya Tay dan anak teruna mereka Rhui Jian untuk meraikan kepulanganku.  Nyonya Tay memegang kedua-dua pipiku.

“Dira semakin cantik dan puteh macam mat salih,” usik Nyonya Tay.

Semua yang ada ketawa mendengar usikan Nyonya Tay itu.  Rhui Jian turut tersenyum dan memandangku tidak berkelip. Mukaku merah menahan malu. Sepanjang menikmati juadah, pelbagai topik yang kami bualkan. Sesekali disulami dengan gelak ketawa mendengar cerita Baba Neo yang suka berjenaka. Kebahagiaan yang tidak dapat diucapkan dengan kata-kata.

Malam itu, kami sekeluarga bersolat tarawih bersama-sama di masjid setelah bertahun-tahun kehilangan peluang berbuat demikian. Satu perasaan damai meresap masuk menjalar di setiap urat darahku. Seusai berjemaah di masjid, aku memimpin tangan ayah pulang ke rumah persis  zaman kanak-kanakku dulu.

Kami sekeluarga menikmati kopi sambil berbual pelbagai topik. Begitu banyak soalan ayah. Soal  kehidupan aku di perantauan, soal pelajaran, soal pekerjaan dan impian ayah untuk melihat aku berumahtangga. Sesekali ketawa kami berderai memecah hening malam.

Malam itu juga, Angah membocorkan rahsia bahawa wang yang dikirim oleh Pak Su sebanyak RM200,000 ketika aku mengalami masalah di Australia dulu, sebenarnya duit daripada jualan tanah sawah kami. Ayah meminta semua orang merahsiakannya daripada pengetahuan aku. Aku begitu tersentuh dan memandang muka ayah.

“Ayah tak mahu puteri kesayangan ayah menghadapi kesusahan hidup seorang diri di rantau orang,” Kata ayah sambil tersenyum.
Oh Tuhan, aku bersyukur kerana Engkau menganugerahi aku seorang ayah yang begitu hebat. Aku juga bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk memohon keampunan daripada ayah. Seorang ayah yang mengajar aku erti sebuah kehidupan. Ayah yang mendidik aku sedari kecil, dan sentiasa memastikan aku berada di atas landasan yang betul. Ayahlah guruku yang sejati sehingga aku menjadi insan yang matang dan berjaya. Air mata bahagia melimpah lagi.  Aku bersyukur kepada-Mu ya Allah. Terima kasih ayah...terima kasih guruku!!

3005 patah perkataan





Cerpen Adek Dan Dileksia { Karya Sabar Hj.Mohd )

Mak  dan  ayah tak faham, cikgu tak faham, malah adik sendiri pun sebenarnya tak faham, mengapa adik jadi seperti ini. Setiap hari selepas pulang dari sekolah, adik akan  belajar pada sebelah petang dan malam seperti yang diarahkan oleh ayah. Hujung minggu pula, emak dan ayah masukkan adik ke kelas tambahan. Kata emak, semuanya demi kebaikan adik. semuanya kerana emak dan ayah mahu adik jadi budak pandai.
Tapi mengapa adik masih seperti ini? Mengapa adik rasa semakin hari adik semakin tidak faham apa-apa yang adik pelajari? Adik begitu tertekan. Di rumah emak dan ayah marah. Di sekolah adik selalu kena hukum dengan cikgu kerana tak dapat menyiapkan tugasan yang diberi. Adik bingung. Sebab itu adik lebih suka termenung dan mengasingkan diri.
Apabila ada masa terluang, adik lebih suka melukis. Hati adik tenang semasa menumpukan perhatian pada lukisan yang adik buat. Adik banyak melukis gambar abang, kakak, ayah dan emak. Adik juga telah  melukis gambar semasa kami berkhelah di pantai Port Dickson. Ada gambar laut, burung dan penjual ais krim. Dalam gambar tersebut adik sedang tersenyum di samping keluarga. Masa tu adik gembira sangat. Adik tak pernah lupa saat-saat tersebut.
 Adik juga lukis gambar kawan-kawan. Gambar cikgu Zaimah dan Cikgu  Leman yang garang sambil memegang rotan. Gambar Ustazah Mira yang cantik pada pandangan mata adik pun adik lukis juga. Semua gambar tersebut adik lukis dalam sebuah buku yang dihadiahkan oleh emak. Emak hadiahkan buku itu kerana tak mahu adik  melukis pada dinding rumah lagi. Adik menjaga buku itu seperti adik menjaga diri adik sendiri.
“Zizi, mari sini,” satu suara laungan yang sudah  biasa sangat adik dengar, singgah di telinga adik. Adik hanya memandang lesu ke arah tuan punya suara tersebut.
“Zup! Zup!” Entah untuk ke berapa kali, buku adik menjadi sasaran kemarahan cikgu  Zaimah. Berang benar nampaknya cikgu Zaimah pagi itu apabila mendapati tulisan adik tunggang-langgang dan jawapan adik tidak ada yang betul. Adik tidak takut lagi. Adik sudah lali. Cuma mata adik terkebil-kebil mohon dikasihani. Perlahan-lahan adik bangun dari tempat duduk dan berjalan lemah ke arah cikgu Zaimah. Muka adik sedikit pucat.
“Awak ni dah Tahun Tiga, tapi tulisan cakar ayam, ejaan pun masih tak betul” tangan cikgu Rahmah yang halus itu segera memiat telinga adik. Mulut adik menyeringai  menahan sakit.
“Ambil balik buku tu, dan buat semula. Esok pagi-pagi saya nak awak hantar, dengar tak?” amaran  cikgu Zaimah keras. Adik  mengangguk lesu.
Perlahan-lahan adik mengutip semula buku adik yang berkeronyok di atas lantai. Ekor mata adik mencuri pandang ke arah cikgu Zaimah yang masih merenungnya sambil bercekak pinggang. Mata adik berair. Adik menangis senyap-senyap kerana takut dimarahi lagi. Adik menyeka air mata dengan lengan bajunya. Satu kelas memandang ke arah adik. Ada yang simpati tak kurang juga yang ketawakan adik. Adik malu tapi apalah daya adik ketika itu.
“Padan muka, kena marah! Ha! ha! ha! ha!” terdengar suara Kiren, Shidan, Najmi dan Low tertawa sambil memperolok-olokkan adik. Empat sekawan tersebut tak habis-habis mengganggu adik.  Adik hanya berdiam diri sambil mengetap gigi.
Petang itu adik pulang ke rumah dalam keadaan kusut masai. Baju adik kotor dengan kesan tanah bercampur daki. Adik cepat-cepat tukar dan sorok baju belakang pintu . Adik mematikan diri di dalam bilik. Adik tak mahu keluar makan.
“Adik, cepat solat. Lepas solat mari makan. Mak dah sediakan ayam goreng kicap kesukaan adik,” kata mak dari dapur.
Lama mak tunggu tapi kelibat adik  masih tak timbul-timbul. Mak pergi ke bilik adik. Rupa-rupanya adik tidur sambil menutup mukanya dengan selimut. Adik tak mahu jumpa sesiapa. Adik tak mahu jumpa emak. Emak pun tak faham diri adik. Adik rasa semua orang tak akan faham. Semua orang hanya tahu marah adik. Semua orang kata adik malas belajar. Adik benci kepada semua orang!
“Mengapa baju sekolah adik kotor ni. Adik bergaduh lagi ke? Apa nak jadi dengan adik ni,” suara mak tinggi sebaik-baik sahaja melihat baju adik yang comot dan penuh tanah.
“Shidan yang mulakan dulu. Dia dan kawan-kawannya ketawakan adik,” jawab adik pendek dari dalam selimut.  Adik cuba pertahankan diri.
“Mengapa mereka ketawakan adik? Mesti adik buat hal di sekolah tadi. Lebih baik adik cakap kalau tidak mak adukan kepada ayah,” kata emak  memancing  sambil duduk dibirai katil menunggu adik keluar dari persembunyiannya.
Perlahan-lahan adik menyembulkan mukanya daripada terus tersembunyi disebalik selimut. Perkataan ‘ayah’ menjentik kebimbangan hati adik. Adik tak mahu ayah tahu dia kena marah dengan cikgu. Adik tak mahu ayah tahu dia bergumpal dan bertumbuk dengan Shidan serta rakan-rakannya semasa di sekolah tadi. Kalau ayah tahu habislah adik.  Adik memandang emak memohon simpati.
“Beritahu emak, mengapa adik bergaduh dengan mereka?” kata emak lembut sambil matanya melekat pada sebatang tubuh kecil yang ada di hadapannya itu.
“Pagi tadi Cikgu Zaimah marah adik. Dia tarik telinga adik. Lepas tu  cikgu baling buku adik sebab adik buat latihan salah,” adik berkata jujur. Suara adik perlahan dan tersekat-tersekat.
“Mengapa adik buat salah? Sebab tu  cikgu  marah,” tambah emak.
“Adik tak faham. Adik tak tahu nak tulis macam mana. Adik dah cuba tulis macam yang cikgu tulis di papan hitam. Tapi cikgu kata adik tulis salah.” Adik meluahkan perasaannya kepada emak.
“Emak melihat telinga adik. Jelas tanda lebam di pangkal telinganya. Hati emak terusik melihat adik diperlakukan begitu. Emak memeluk adik dan membelai rambut adik.  Adik rasa begitu selamat setiap kali mak memeluknya. Adik memeluk emak kuat.
“Habis tu, apa kaitannya dengan Shidan dan kawan-kawannya sampai adik bergaduh dengan mereka?” tanya emak lagi walaupun emak seperti  sudah boleh menduga jawapan yang bakal diberi oleh adik.
“Mereka ketawakan adik. Ejek-ejek adik. Dia orang  kata adik bodoh sebab tu hari-hari kena marah dengan cikgu.” Adik bersuara laju sambil menyembamkan mukanya di dada emak. Kekadang emak pun buntu memikirkan hal adik. Abang dan kakak adik tidak seperti ini. Mereka pelajar pintar di sekolah dan sentiasa mendapat pujian guru. Mak bingung. “ Kasihan adik,“ gumam emak dalam hati.           
Selepas makan tengahari, mak menemani adik menyiapkan kerja sekolahnya. Emak terkedu melihat tulisan adik yang tunggang langgang. Banyak huruf atau nombor yang adik tulis secara terbalik.  Emak menggelang-gelengkan kepala, tetapi emak tidak sekali-kali memarahi adik. Emak membantu adik satu persatu menyiapkan tugasannya. Emak begitu sabar melayani adik. Itulah hati seorang ibu.
Malam itu, emak memberitahu ayah perkara yang berlaku. Emak cuba berbincang dengan ayah keadaan adik yang tidak boleh menulis dan membaca dengan baik walaupun sudah berada di Tahun Tiga.
“Mungkin adik menghadapi apa-apa masalah tak bang? Marilah kita bawa adik pergi berjumpa dengan doktor untuk membuat pemeriksaan”
Cadangan emak ditolak mentah-mentah. Ayah tak percaya adik menghadapi sebarang masalah. Sebaliknya ayah menyalahkan emak kerana tidak menjaga dan mendidik adik dengan baik. Kata ayah, emak  terlalu memanjakan adik. Sebab itu adik jadi malas dan tidak bersungguh-sungguh. Kata ayah lagi, emak sepatutnya lebih tahu hal-hal adik kerana ayah sibuk bekerja setiap hari menyara keluarga kami. Melihat ayah sukar dibawa berbincang, emak kemudiannya mematikan diri.
Peperiksaan akhir tahun menjelma. Sepeti pelajar yang lain, adik turut sama menjalani peperiksaan tersebut. Adik tekun menjawab seperti pelajar lain juga...tapi adik sendiri tak pasti apa yang telah adik tuliskan.
Saat mengunjukkan buku rekod kemajuan kepada ayah, tangan adik menggigil.  Markah bagi semua subjek ditulis dengan pen merah. Itu bermakna adik gagal dalam semua mata pelajaran. Komen yang diberi oleh guru kelas adik juga telah menyebabkan ayah semakin marah.
Adik tak dapat melupakan peristiwa malam itu, adik dibelasah dengan teruk oleh ayah. Ayah kata adik malas. Ayah kata adik sengaja main-main. Kaki dan tangan adik berbekas dek rembatan rotan ayah yang sentiasa tersangkut di dinding ruang tamu. Ayah membanding-bandingkan diri adik dengan abang dan kakak. 
Esakan adik berlarutan semasa tidur. Emak, abang dan kakak sangat sedih dan kasihan melihat adik, tetapi mereka tak boleh berbuat apa-apa. Emak menyapu ubat di beberapa bahagian tubuh adik yang lebam. Akhirnya mereka semua turut menangis bersama-sama adik.
Cuti akhir tahun persekolahan, ayah mendaftarkan adik di sebuah pusat tuisyen untuk mengikuti pelajaran secara intensif. Maknanya tidak ada istilah cuti dalam kamus hidup adik. Hari-hari adik terpaksa menghadiri kelas Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains di pusat tersebut. Adik tak dapat balik ke kampung untuk bercuti bersama-sama atuk dan nenek.
 Atuk sudah beberapa kali menelefon emak dan ayah agar membawa adik pulang bercuti di kampung. Atuk dan nenek rinduk akan adik. Adik pun teramat rindu kepada atuk dan nenek. Adik hanya mampu memendam perasaan. Adik lebih suka termenung dan berangan-angan bertemu dengan atuk dan nenek. Adik lukis gambar atuk dan nenek sedang memegang tangan adik. Adik juga lukis gambar ayah yang bengis ketika merotan adik tempohari!
Cuti sekolah akhir tahun kali ini adik rasakan terlalu panjang. Akhirnya tahun baru menjelma juga,  bermakna adik akan berada dalam Tahun Empat. Abang dan kakak telahpun pulang ke asrama masing-masing. Adik berasa sangat kesunyian. Selalunya masa cuti sekolah, abang dan kakak rajin melayan adik. Abang dan kakak berusaha membantu adik menyiapkan latihan yang diberi oleh guru pusat tuisyen kerana mereka tak mahu adik kena marah dengan ayah.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, sekolah bagai satu penjara besar yang amat menyiksakan bagi adik. Sebuah tempat pesalah-pesalah menerima hukuman. Guru-guru yang telah sediakala mengenali adik tetap dengan persepsi yang sama menganggap adik malas, bodoh, degil dan sukar diajar. Seperti tahun-tahun sudah juga, adik menerima hukuman demi hukuman daripada para guru yang kononnya mempunyai kepakaran mendidik anak bangsa. Hati adik sedih, badan adik sakit tapi tak siapapun yang cuba memahami diri adik. Sama juga seperti ayah dan kawan-kawan.
“Bangun semua, selamat sejahtera cikgu.”Jelas kedengaran arahan ketua kelas sebaik-baik sahaja cikgu Violette masuk ke kelas.
Cikgu Violette merupakan guru Bahasa Inggeris adik yang baharu menggantikan cikgu Liza. Adik suka cikgu Violette. Cikgu Violette cantik dan bercakap dengan lembut kepada adik. Cikgu Violette suka tersenyum dan sesekali menggosok belakang adik. Cikgu Violette tidak seperti cikgu Liza yang bengis dan sentiasa menyinga. Setiap hari adik tertunggu-tunggu cikgu Violette masuk ke kelas adik. Walaupun adik tak faham apa yang diajar oleh cikgu Violette tetapi adik akan pura-pura sibuk menyiapkan kerja yang diberi.
Ketika menyemak tugasan pertama yang diberi kepada pelajar Tahun Empat Delima , cikgu Violette mula berasakan  ada sesuatu yang tidak kena kepada diri adik. Adik cenderung menulis secara terbalik. Adik juga tidak dapat menulis dengan baik. Tulisan adik ada yang tinggi, ada rendah dan ada yang kecil juga yang besar. Susunan tulisan adik juga tidak teratur. Sekejap menyerong ke ke atas dan sekejap menyerong ke bawah.
“Patutlah dia selalu kena marah dan menjadi sasaran guru-guru. Rupa-rupanya dia ada masalah,” hati cikgu Violete berbisik. Tetapi cikgu Violette tidak cepat melatah. cikgu Violete sedaya upaya memberi tumpuan yang lebih kepada adik dan cuba membantu adik mengatasi kelemahannya. Pada waktu lapang cikgu Violette mengadakan kelas pemulihan khas untuk adik. Namun setelah beberapa bulan berlalu, prestasi adik tetap seperti itu.
Cikgu Violette cuba berbincang dan mendapatkan pandangan beberapa orang guru yang turut mengajar kelas adik. Namun reaksi kebanyakan guru tersebut amat mengecewakan cikgu Violette. Rata-rata mereka begitu pasif dan membuat kesimpulan mudah,  “adik pelajar dungu yang memang sukar diajar.”
“Sudahlah cikgu, janganlah buang masa melayan budak Zizi tu, memang dia dah tak ada harapan dahh.!! kalau dia betul-betul bagi tumpuan,dia boleh buat. Masalahnya dia malas dan degil.” Lemparan kata-kata Cikgu Liza di bilik guru tadi begitu menyakitkan hati Cikgu Violette.
“Tapi cikgu, kita tak boleh lepas tangan begitu sahaja. Kita kena bantu dia. Kalau dia budak yang normal, tak mungkin dia berkeadaan begitu,” cikgu Violette cuba mempertahankan adik.
“Suka hati cikgulah,” cikgu Liza bersuara sinis sambil bibirnya sedikit terjuih. Guru-guru lain hanya menelinga dan mengambil sikap berkecuali.
“Kita dah usaha cikgu, malah sebelum cikgu datang ke sekolah ini, ramai guru telah cuba membimbing dia, tapi hasilnya tetap sama. Jadi apa lagi yang boleh kita buat,” jawab Encik Vishnu, GPK Hal Ehwal Murid di sekolah adik  acuh tak acuh  tatkala cikgu Violette mengajukan perkara tersebut kepada beliau.
“Beginilah cikgu Violette. Cikgu masih baru di sini dan masih tidak begitu biasa dengan perangai pelajar-pelajar di sini. Jadi, daripada cikgu membuang masa memikirkan seorang pelajar, saya minta cikgu tumpukan kepada pelajar-pelajar lain yang leih berpotensi supaya pencapaian alkademik sekolah kita dapat ditingkatkan. Ingat cikgu, pencapaian akademik sekolah kita merupakan antara yang terbaik di daerah ini,” suara cikgu Vishnu kedengaran tegas.
“Inilah akibatnya kalau sekolah bertindak seolah-olah seperti sebuah mesin yang hanya mengeluar manusia cemerlang dalam peperiksaan. Sedangkan Falsafah Pendidikan Negara kita amat jelas untuk melahirkan generasi yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek,” cikgu Violette bersuara geram tetapi dengan nada yang dikawal sambil meminta diri.  Cikgu Vishnu terpinga-pinga.
Guru muda yang pernah mendalami ilmu Psikologi Pendidikan, di Universiti Kebangsaan Malaysia ini tidak mengaku kalah. Dia tidak mahu sikap segelintir guru yang begitu pasif, mematahkan semangatnya. Dia begitu yakin, adik bukan budak bodoh tetapi tentu ada sesuatu yang menyebabkan adik berkeadaan demikian. Disleksia, ya.. Disleksia. Cikgu Violette pernah membaca tentang sindrom penyakit tersebut ketika menuntut di universiti dahulu.
Berhari-hari Cikgu Violette melayari laman sesawang untuk mendapatkan maklumat tentang Disleksia. Semakin banyak maklumat diperoleh,  dia semakin yakin adik menghadapi masalah Disleksia. Cuma cikgu Violette tidak pasti sejauh mana kebenarannya.
            Hujung minggu itu, Cikgu Violette mengambil kesempatan untuk mengunjungi keluarga adik. Hatinya tidak akan tenang selagi tidak dapat membantu adik. Dia bernasib baik kerana ayah dan ibu adik ada di rumah. Setelah memperkenalkan diri, emak mempelawa cikgu Violette masuk dan menghidangkan minuman.
            “Saya minta maaf mengganggu keluarga abang dan kakak waktu hujung minggu begini. Saya juga minta maaf sekiranya perkara yang ingin saya bincangkan tentang Zizi ini akan menyinggung perasaan abang dan kakak,” cikgu Violette memulakan bicara dengan penuh tertib.
            Dengan penuh diplomasi, cikgu Violette menerangkan kepada ayah dan emak tentang diri adik di sekolah sepanjang pemerhatiannya selama beberapa bulan di sekolah tersebut. Cikgu Violette juga menerangkan tentang penyakit Dileksia yang secara zahirnya sukar di kesan pada diri si pengidap. Akhirnya, Cikgu Violette berjaya meyakinkan ayah untuk membawa adik membuat pemeriksaan lanjut di hospital yang mempunyai kepakaran dalam  bidang tersebut
            Setelah menjalankan beberapa prosuder dan ujian, pihak hospital telah menghubungi ayah dan emak untuk berbincang mengenai perkara tersebut. Cikgu Violette turut sama ke hospital untuk mendengar penjelasan daripada doktor.
“Encik Halim, Disleksia ni merupakan satu sindrom yang menyebabkan pengidapnya tidak mampu untuk belajar disebabkan kesukaran mereka melakukan aktiviti membaca dan menulis.”
“Boleh doktor jelaskan lagi, saya tak begitu faham.” kata ayah lemah.
“Macam ni Encik Halim. Pengidap Disleksia ni pada zahirnya nampak seperti manusia normal yang lain. Mereka menjalani kehidupan yang cergas, masih punya kemampuan untuk menganalisa dan juga punya daya sensorik pada deria rasa. Tetapi  mereka ni  kehilangan kemampuan untuk membaca dan menulis disebabkan berlaku kerosakan pada bahagian tertentu otak. Disleksia pada tahap ini juga dikenal sebagai Aleksia. Malah  selain mempengaruhi kemampuan membaca dan menulis, Disleksia juga boleh mempengaruhi kemampuan seseorang kanak-kanak itu  untuk bertutur “
Dahi ayah berkerut mendengar penjelasan doktor Nizam.  Semua telahan yang dibuat oleh cikgi Violette ternyata benar. Ayah dan ibu masih terpinga-pinga dan sukar mempercayai penyakit yang dideritai oleh adik.

“Tapi doktor anak saya normal dan keturunan sebelah saya mahupun sebelah isteri tidak ada yang mengidap sindrom seperti ini,” kata ayah lagi seperti enggan menerima hakikat keadaan adik.
“Penderita Disleksia ni sememangnya tidak dapat dilihat dari segi fizikal mereka. Selain itu, Disleksia juga tidak hanya terbatas pada situasi seseorang penderita  menyusun atau membaca kalimat dalam urutan terbalik, tetapi juga dalam pelbagai macam urutan yang lain seperti dari atas ke bawah, kiri dan kanan, serta sulit menerima perintah yang seharusnya dilanjutkan ke memori pada otak. Hal inilah yang  menyebabkan penderita Disleksia dianggap tidak konsentrasi dalam beberapa hal. Terdapat juga beberapa kes penderita tidak dapat menjawab pertanyaan yang diberi secara panjang lebar.”
“Jadi, bagaimana dengan anak saya doktor?”
“Semua sindrom yang saya nyatakan tadi ada pada diri anak Encik Halim. Jadi jelaslah bahawa anak Encik Halim mengalami masalah Disleksia”
“Doktor, boleh saya tahu faktor seseorang kanak-kanak mengalami masalah Disleksia ini,”  cikgu Violette bersuara setelah begitu lama hanya menjadi pendengar.
“Para pengkaji telah menemukan disfungsi ini adalah disebabkan oleh kondisi dari biokimia otak yang tidak stabil dan juga dalam beberapa hal akibat bawaan keturunan daripada orang tua mereka.”
            Ayah dan emak terdiam setelah mendapat penerangan sejelas-jelasnya daripada Dr.Nizam. Lidah ayah kelu. Perasaan bersalah terhadap adik menyerbu segenap ruang minda ayah.  Ayah memeluk adik erat.  Adik hanya diam dan terpinga-pinga.
            “Adik, maafkan ayah sayang. Ayah akan lakukan apa sahaja agar adik dapat menjalani kehidupan yang lebih sempurna. Ayah janji tidak akan membiarkan sesiapapun  memarahi adik lagi disebabkan keadaan adik ini. Ayah janji!” ayah bersuara perlahan penuh kesal.
            Atas pandangan cikgu Violette dan nasihat daripada Dr.Nizam, ayah  telah menghantar adik ke Persatuan Pembelajaran Kanak-Kanak Disleksia. Di pusat tersebut, adik telah diberikan perhatian dan tunjuk ajar secara lebih terancang serta menjalani pembelajaran secara one to one oleh tenaga pengajar yang berpengalaman.
Hampir dua tahun berlalu, ayah dan emak sangat gembira kerana sudah ada perkembangan yang positif pada diri adik. Jika sebelum ini adik tidak mampu memberikan tumpuan dan sukar belajar, namun berkat kesungguhan tenaga pengajar di situ, adik sudah boleh mengira, membaca dan melakukan penyelesaian terhadap latihan yang diberikan. Ayah dan emak bersyukur kerana masih belum terlambat untuk membantu adik berhadapan dengan masalah yang dihadapinya. Ayah juga amat berterima kasih kepada Cikgu Violette kerana dengan keprihatinannyalah masalah disleksia yang dialami oleh adik dapat dikesan lebih awal.
Tanggal 16 Mei akan menjelma. Tarikh tersebut amat bermakna buat semua guru. Ingatan adik terhadap cikgu Violette tidak pernah lekang di ruang mindanya. Malah ingatan itu kini bertukar menjadi rindu kepada seorang pendidik yang telah menyelamatkannya daripada terus terhumban dalam kegelapan.
Adik meminta emak menemaninya membeli kad ucapan dan cenderahati pilihannya. Sebaik sahaja pulang, adik berkurung dalam bilik kerana begitu sibuk membungkus hadiah dan menulis kad ucapan tersebut. Emak menawarkan pertolongan untuk membantu tetapi adik menolaknya mentah-mentah. Adik ingin melakukannya sendiri untuk seorang insan yang amat bermakna bagi dirinya. Sesekali emak menjenguk ke dalam bilik perlahan-lahan kerana tidak mahu mengganggu kesibukan adik masa itu. Emak hanya tersenyum.
Pagi itu,  cikgu Violette menjalani rutinnya sebagai pendidik dengan penuh semangat dan ceria.  Sedang asyik melayani kerenah anak-anak murid yang lincah di dalam kelas, cikgu violette telah diminta datang ke pejabat kerana Encik Ravi, guru besar sekolah ingin berjumpa. Dadanya berdebar-debar memikirkan kesalahan yang mungkin telah dilakukannya.
“Selamat pagi cikgu. Boleh saya tahu mengapa cikgu ingin berjumpa dengan saya?” Cikgu Violette bersuara sebaik-baik sahaja melangkah masuk ke bilik guru besar.
“Selamat pagi cikgu. Ini Encik Halim, bapa Azizi bekas murid sekolah kita dahulu,” kata Encik Ravi sambil sambil tangannya mengarah kepada Encik Halim.
“Encik Halim telah menceritakan semuanya kepada saya berkaitan  Azizi yang menghidapi masalah Disleksia dan usaha gigih cikgu membantu murid tersebut. Saya berasa begitu terharu dan bangga terhadap usaha yang telah cikgu lakukan,” sambung Encik Ravi lagi.
Kesempatan itu diambil oleh cikgu Violette untuk mengetahui perkembangan Azizi sepanjang dia belajar di Pusat Pembelajaran kanak-Kanak Dileksia.  Tidak terdetik walau sedikitpun rasa  bangga diri  tatkala mendapat pujian daripada guru besar sebentar tadi. Baginya segala yang dilakukan itu adalah atas rasa tanggungjawab dan kasih yang menebal  kepada anak didik dan dunia pendidikan.
Sebelum meminta diri, ayah menyampaikan salam dan cenderahati daripada Azizi kepada Cikgu Violette. Azizi tidak dapat datang kerana bersekolah.
Cikgu Violette membuka cermat kertas merah jingga yang membalut kemas hadiah tersebut. Sekeping potret yang berlatarkan pantai dan ombak. Di tepian pantai itu kelihatan seorang wanita manis sedang memimpin jejari kecil menyusuri pantai tersebut. Ahh...cantik sungguh. Cikgu Violette tersenyum.
Jari jemari cikgu Violette pantas membuka sekeping kad ucapan yang terlekat kemas pada bungkusan hadiah itu. Matanya tidak berkelip menatap patah demi patah kata-kata yang tercatat di dalamnya :

Buat seorang guru
yang manis dan ayu
suaranya merdu
menyejukkan hatiku,
Buat seorang guru
 menjadi bintang hatiku
memberi aku cahaya
untuk menyuluh jalanku,
Terima kasih cikgu
kaulah sinar itu.
Daripada : Nor Azizi bin Abd.Halim

            Cikgu Violette membaca dan membaca nota itu berulang kali. Kad bertulisan tangan itu mempunyai banyak kesan pemadam yang membayangkan pemiliknya cuba menulis sebaik mungkin. Biarpun kalimah yang tercatat amat ringkas, namun cukup untuk menceritakan hati seorang kanak-kanak yang sangat tulus  menghargainya. Cikgu Violette menyeka air matanya. Bukan kerana kesedihan tetapi kebahagiaan yang sukar untuk dijelaskan.

[ Cerpen ini telah dipertandingkan dalam Pertandingan Menulis Certa kanak-kanak sempena  sambutan Hari Guru Peringkat kebangsaan 2012 ]